Sabtu, 12 Mac 2011

Model Wawasan-Pengolahan Idea/ Isi Karangan


Formula
Idea/Isi
Alat Tautan
Binaan Ayat
Idea 1






Contoh 1



Contoh 2



Kesan 1



Kesan 2



Indah



Kesimpulan




Berdasarkan rangka komunikasi perenggan idea/isi dalam Model Wawasan, idea atau isi yang telah dijana itu akan diolah atau dikembangkan sehingga menjadi sebuah perenggan yang koheren dan kohesif. Untuk menggunakan Rangka komunikasi Perenggan Idea/Isi ini, beberapa prinsip perlu diikuti, iaitu:

(a) Pelajar dikehendaki bersoal  jawab tentang topik perbincangan karangan berdasarkan unsur-unsur dalam lajur Formula.
(b) Pelajar hendaklah bermula dengan lajur Formula, dikuti dengan lajur Idea/Isi dan lajur Binaan Ayat, iaitu pada baris pertama.
(c) Kemudian, berpindah pula pada baris kedua dengan bermula pada lajur Formula dan diikuti lajur Idea/Isi serta laju Binaan Ayat.
(d) Demikianlah yang perlu dilakukan untuk seterusnya, iaitu baris demi baris dan bukannya lajur demi lajur.
(e) Setelah semua proses tersebut dilaksanakan, barulah lajur Alat Tautan dilengkapkan.

Berdasarkan prinsip di atas, ditunjukkan proses mengolah dan mengembangkan idea berdasarkan Rangka Komunikasi Perenggan tersebut seperti yang berikut.
 
Soalan:   Dadah musuh utama negara.
               Bincangkan langkah-langkah untuk memerangi ancaman dadah.
Formula
Idea/Isi
Alat Tautan
Binaan Ayat
Idea 1
berani
-
Masyarakat hendaklah  berani memerangi dadah
Contoh 1
membuat laporan kepada pihak berkuasa
Contohnya,
Mereka hendaklah melaporkan kegiatan penyalahgunaan dadah di kawasan masing-masing.
Contoh 2
memberkas
Selain itu,
Masyarakat hendaklah berani memberkas pengedar dadah.
Kesan 1
penagih takut
Dengan ini,
Belia-belia berasa takut untuk menyalahgunakan dadah.
Kesan 2
penagih baharu berkurangan
dan
Penagih baharu dapat dikurangkan.
Indah
berani kerana benar
Jelasnya,
Masyarakat mesti berani kerana benar dan takut kerana salah.
kesimpulan
bebas dadah
Dengan hal yang demikian,
Kawasan kediaman kita akan bebas daripada ancaman dadah.
 
Untuk mengolah idea atau isi dengan menggunakan Rangka Komunikasi Perenggan ini, dikehendaki beberapa soal jawab yang berkaitan dengan topik perbincangan karangan yang boleh ditanya berdasarkan lajur Formula bagi melengkapkan lajur Idea/Isi dan Binaan Ayat adalah seperti berikut:

(a) Apakah langkah memerangi dadah oleh masyarakat? [berani] [Unsur idea]
(b) Apakah contoh tindakan berani masyarakat? [melaporkan] [Unsur contoh 1]
(c) Apakah contoh tindakan berani yang lain? [memberkas] [Unsur contoh 2]
(d) Apakah kesan daripada tindakan berani masyarakat? [penagih takut] [Unsur kesan 1]
(e) Apakah kesan lain daripada tindakan berani masyarakat? [berkurangan] [Unsur kesan 2]
(f) Apakah peribahasa yang berkaitan dengan sikap berani? [berani kerana benar, takut kerana salah] [Unsur indah]
(g) Apakah kesimpulan daripada tindakan berani dan kesan daripada tindakan berani? [bebas daripada dadah] [Unsur kesimpulan]

Setelah pelajar melengkapkan lajur Binaan Ayat, pelajar hendaklah menautkan ayat-ayat tersebut sama ada dengan penanda wacana, kata hubung, kata sendi, atau frasa seperti yang ditunjukkan dalam Rangka Komunikasi Idea/Isi di atas. Setelah siap semua lajur itu, pelajar akan memperoleh satu perenggan idea atau isi yang koheren dan kohesif seperti yang berikut:

Masyarakat hendaklah berani memerangi dadah. Contohnya, mereka hendaklah melaporkan kegiatan penyalahgunaan dadah di kawasan masing-masing. Selain itu, masyarakat hendaklah berani memberkas pengedar dadah. Dengan ini, belia-belia berasa takut untuk menyalahgunakan dadah dan penagih baharu dapat dikurangkan. Jelasnya, masyarakat mesti berani kerana benar dan takut kerana salah. Dengan hal yang demikian, kawasan kediaman kita akan bebas daripada ancaman dadah.
 
Perenggan yang sudah diolah atau dikembangkan isi hendaklah dimasukkan dalam struktur binaan karangan. Walau bagaimanapun, perenggan ini masih boleh diluaskan dengan menambahkan frasa-frasa yang sesuai. Frasa memperluas perenggan ini tidak akan mengganggu struktur binaan ayat. Lihat contoh yang berikut: 

Masyarakat hendaklah berani memerangi ancaman dadah berbahaya. Contohnya, mereka hendaklah melaporkan kegiatan penyalahgunaan dadah yang berlaku di kawasan masing-masing. Selain itu, masyarakat hendaklah berani memberkas pengedar dadah yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal masing-masing. Dengan ini, belia-belia berasa takut untuk menyalahgunakan dadah dan penagih baharu dapat dikurangkan. Jelasnya, masyarakat mesti mempunyai sikap berani kerana benar dan takut kerana salah. Dengan hal yang demikian, kawasan kediaman kita akan bebas daripada ancaman dadah berbahaya.

Sumber: Cikgu Azam Bin Ahmad

Tiada ulasan:

Catat Ulasan