Sabtu, 26 Mac 2011

Praktis SPM 1


Soalan 1: Rumusan

[30 markah]
[Masa yang dicadangkan: 45 minit]
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang tindakan mengatasi masalah disiplin murid di sekolah dan kesan masalah itu kepada negara. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Pada masa ini, Kementerian Pelajaran Malaysia sedang berusaha untuk memperkasakan pendidikan di negara kita kerana pendidikanlah yang akan menentukan hala tuju sesebuah negara. Menerusi pendidikan juga kita akan dapat melahirkan pemimpin yang berwibawa, berkaliber, dan kental jati diri. Walau bagaimanapun, hasrat murni kementerian ini menghadapi beberapa kekangan, antaranya termasuklah masalah disiplin murid di sekolah-sekolah.
                                              
Untuk mengatasi masalah ini, kementerian telah menubuhkan Jawatankuasa Petugas Khas Menangani Gejala Disiplin. Sehingga penghujung tahun 2004, sebanyak 250 pendapat awam diterima di samping ratusan aduan yang dikategorikan dalam masalah salah laku murid. Tindakan lain yang diambil oleh Kementerian Pelajaran adalah dengan membuka talian penting dan e-mel untuk mangsa buli dan keganasan di sekolah. Dengan cara ini, Kementerian Pelajaran akan mendapat maklumat tentang masalah disiplin dengan lebih tepat. Ibu bapa dan orang awam boleh membuat aduan tentang masalah disiplin murid. Selain itu, maklumat boleh disalurkan menerusi sistem pesanan ringkas(SMS) kepada pegawai yang bertanggungjawab.

Bagi menangani masalah disiplin yang berat, pihak sekolah dibenarkan untuk mendapatkan bantuan daripada polis. Sekiranya perlu, pihak polis dibenarkan untuk menahan murid yang berada di luar kawasan sekolah pada waktu persekolahan. Kementerian Pelajaran telah mengingatkan pihak sekolah bahawa mereka boleh dikenakan tindakan tatatertib jika menyembunyikan kes disiplin yang berlaku di sekolah masing-masing. Hal ini demikian kerana Kementerian Pelajaran menerima laporan bahawa terdapat pihak pentadbir sekolah, terutamanya sekolah yang berstatus elit, cuba menutup kes disiplin di sekolah mereka.

Sebenarnya masalah disiplin yang berlaku ini boleh ditangani menerusi prosedur yang sedia ada seperti mengenakan hukuman rotan, denda, gantung sekolah dan buang sekolah. Namun demikian, sebelum hukuman dikenakan, setiap kes itu mestilah disiasat puncanya terlebih dahulu. Tindakan ini diambil supaya kita dapat berlaku adil kepada murid tersebut kerana ada murid yang melakukan kesalahan disiplin semata-mata kerana ingin perhatian dan mereka sebenarnya bukan penjenayah. Kita akui bahawa masa depan negara amat bergantung pada kejayaan dan kemantapan sistem pendidikan. Kemantapan ini pula bergantung pada kecemerlangan kakitangan Kementerian Pelajaran melaksanakan peranan masing-masing. Dengan itu, akan tercapailah hasrat negara untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis selaras dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.




(Dipetik dan diubahsuaikan daripada ‘Realiti Semasa Masalah Disiplin Pelajar’ oleh Noor Khairiyati Mohd. Ali, Dewan Masyarakat, April 2007)



Soalan 2: Pemahaman

Soalan 2(a) - Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i)         Berikan maksud rangkai kata sekolah yang berstatus elit.[2 markah]

(ii)        Apakah peranan pendidikan di negara kita?[3 markah]

(iii)       Pada pendapat anda, bagaimanakah pendekatan kaunseling dapat mengurangkan masalah disiplin di sekolah?[4 markah]


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan