Rabu, 30 Mac 2011

Jenis-Jenis Pendahuluan


Pendahuluan Jenis Definisi

Tajuk/Tema: Berjimat cermat
Skop/Fokus Soalan: Langkah-langkah untuk menggalakkan masyarakat berjimat cermat


          Berjimat cermat merupakan satu amalan perbelanjaan wang secara berhemat atau penggunaan sesuatu dengan tidak boros. Sejak kebelakangan ini, negara kita mengalami krisis ekonomi dan masalah kejatuhan nilai mata wang. Bagi mengatasi keadaan ini, maka sikap berjimat cermat patut diamalkan oleh setiap rakyat. Sikap rakyat yang suka berjimat cermat akan mengelakkan meningkatnya kadar inflasi, yakni satu keadaan apabila permintaan terhadap sesuatu barang atau perkhidmatan melebihi penawaran barang dan perkhidmatan tersebut yang akan menyebabkan kenaikan harga. Sikap borong dilarang oleh Tuhan. Malah, kerajaan Malaysia juga menyeru rakyat supaya berjimat cermat, bukan sahaja untuk mematuhi ajaran agama , tetapi untuk membantu memulihkan ekonomi negara. Oleh itu, langkah-langkah berjimat cermat patut kita rancangkan demi menjamin kehidupan yang sempurna sepanjang masa, lebih-lebih lagi dalam menghadapi masa depan yang belum diketahui keadaannya.


Pendahuluan Jenis Pendapat Tokoh

Tajuk/Tema: Hubungan ibu bapa dengan sekolah
Skop/Fokus Soalan: Faktor-faktor yang menyebabkan hubungan ibu bapa dengan sekolah renggang


          Pakar motivasi, Dato' Dr. Fadzilah Kamsah berkata, “Kebanyakan ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah berasrama gagal  mewujudkan hubungan rapat dengan pihak sekolah terutamanya guru yang sepatutnya boleh membantu mereka memantau kegiatan pelajar terbabit di asrama. Ketika mengulas tentang kejadian seorang pelajar yang mati dipercayai selepas dibelasah oleh sekumpulan pelajar senior , Dato' Dr. Fadzilah Kamsah berkata, ibu bapa sepatutnya menjadikan perjumpaan dengan guru dan pihak sekolah sebagai rutin untuk mendapatkan pandangan positif serta memantau perkembangan anak-anak., terutamanya yang belajar di sekolah berasrama. Sekiranya ibu bapa dan guru saling berhubungan serta mengenali antara satu sama lain, ibu bapa akan mendapat laporan yang terus daripada guru mengenai pencapaian atau kegiatan terbabit di sekolah. Oleh itu, untuk mengeratkan hubungan antara ibu bapa dengan pihak sekolah supaya anak-anak yang tinggal di asrama mendapat perhatian, maka semua pihak haruslah mencari jalan untuk menyelesaikan masalah ini.


Pendahuluan Jenis Persoalan

Tajuk/Tema: Kemalangan jalan raya
Skop/Fokus Soalan: Faktor-faktor yang menyebabkan peningkatan kadar kemalangan jalan raya


          Dewasa ini, kadar kemalangan jalan raya di Malaysia semakin meningkat dari semasa ke semasa, terutamanya pada musim perayaan. Adakah kemalangan jalan raya terjadi akibat kelalaian diri sendiri atau kelalaian orang lain? Mengapakah jumlah kemalangan jalan raya semakin meningkat dari setahun ke setahun, khususnya pada cuti perayaan? Apakah punca sebenar kemalangan berlaku? Mengapakah kemalangan jalan raya banyak membabitkan motosikal dan bas ekspress berbanding dengan kenderaan lain.? Bagaimanakah kita hendak mengelak atau mengurangkan kadar kemalangan jalan raya? Adakah dengan mengadakan kempen keselamatan  jalan raya kita dapat mengawal kemalangan jalan raya? Mungkin ada antara kita yang mengatakan bahawa kemalangan jalan raya disifatkan sebagai takdir daripada Tuhan. Persoalannya, apakah faktor-faktor sebenarnya yang menyebabkan kemalangan jalan raya berlaku?


Pendahuluan Jenis Peribahasa

Tajuk/Tema: Semangat Kejiranan
Skop/Fokus Soalan: Langkah-langkah untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat

          Sejak belakangan ini, semangat kejiranan dan amalan gotong-royong semakin tipis dalam masyarakat kita. Jikalau dahulu peribahasa seperti “ringan sama dijinjing, berat sama dituruni”, dan “hati gajah sama dilapah sama dilapah, hati kuman sama dicecah” menjadi pegangan hidup masyarakat. Dalam zaman yang serba canggih dengan teknologi yang tinggi, manusia tidak lagi mementingkan semangat kejiranan. Bagi mereka amalan gotong-royong dianggap kerja yang membuang masa dan sia-sia sahaja. Mereka hidup seperti “enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing” dan “masing-masing perahu, masing-masing kayuh”. Jadi, bagaimanakah kita hendak memupuk semangat kejiranan dalam sanubari setiap warganegara kita?


Pendahuluan Jenis Puisi

Tajuk/Tema: Kepentingan ilmu
Skop/Fokus Soalan: Faedah-faedah menuntut ilmu

Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.

Bintang tujuh sinar berseri,
Bulan purnama datang menerpa;
Ajaran guru hendak di cari,
Mana yang dapat janganlah lupa.

          Daripada pantun dua rangkap di atas, kita dapat melihat bahawa ilmu sangat penting dan setiap orang digalakkan menuntut ilmu. Hal ini demikian kerana ilmu dapat diibaratkan seperti obor yang dapat menerangi malam yang terang, bahkan ilmu dikatakan menjadi teman ketika keseorangan, dijadikan teman ketika keseorangan, dijadikan teman ketika diperantauan, dan menjadi penyuluh dalam kegelapan. Kini, kita mendapati bahawa orang yang berilmu mencapai kejayaan dalam hidup mereka, manakala orang yang jahil terkial-kial entah di mana. Oleh itu, setiap orang digalakkan menuntut ilmu kerana ilmu mempunyai pelbagai faedah dan manfaatnya.


Pendahuluan Jenis Gabungan

Tajuk/Tema: Kesesakan lalu lintas
Skop/Fokus Soalan: Langkah-langkah untuk mengatasi kesesakan lalu lintas

Kini, kesesakan lalu lintas merupakan satu masalah yang masih cuba diatasi oleh pihak berkuasa. Kesesakan lalu lintas telah menjadi satu fenomena yang bukan sahaja menyusahkan para pengguna jalan raya, tetapi boleh menimbulkan masalah sosial, pencemaran alam sekitar, dan psikologi kepada penghuni bandar-bandar besar. Kesesakan lalu lintas menjadi cabaran kepada pihak berkuasa tempatan sehingga segala tumpuan dan tenaga telah dicurahkan untuk menangani masalah ini. Keadaan ini bertambah buruk apabila bilangan penduduk serta kenderaan seperti kereta, bas, dan lori bertambah seperti kedatangan kelkatu selepas hujan di kawasan tersebut. Menurut satu rencana yang disiarkan dalam majalah Dewan Siswa menunjukkan Kuala Lumpur telah dilanda sindrom kesesakan lalu lintas yang amat parah. Banyak kenderaan tersadai di jalan raya dan menimbulkan kekucar-kaciran dalam sistem perhubungan dan pengangkutan. Apakah langkah-langkah yang wajar dan drastik perlu diambil untuk membanteras masalah ini? Kempen kongsi kereta yang dilancarkan oleh kerajaan tidak membawa sebarang kesan. Oleh itu, setiap pihak haruslah mengambil inisiatif dan memberi komitmen supaya kesesakan lalu lintas yang semakin menjadi-jadi dapat dikurangkan atau dibendung.

Sabtu, 26 Mac 2011

Praktis SPM 1


Soalan 1: Rumusan

[30 markah]
[Masa yang dicadangkan: 45 minit]
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang tindakan mengatasi masalah disiplin murid di sekolah dan kesan masalah itu kepada negara. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Pada masa ini, Kementerian Pelajaran Malaysia sedang berusaha untuk memperkasakan pendidikan di negara kita kerana pendidikanlah yang akan menentukan hala tuju sesebuah negara. Menerusi pendidikan juga kita akan dapat melahirkan pemimpin yang berwibawa, berkaliber, dan kental jati diri. Walau bagaimanapun, hasrat murni kementerian ini menghadapi beberapa kekangan, antaranya termasuklah masalah disiplin murid di sekolah-sekolah.
                                              
Untuk mengatasi masalah ini, kementerian telah menubuhkan Jawatankuasa Petugas Khas Menangani Gejala Disiplin. Sehingga penghujung tahun 2004, sebanyak 250 pendapat awam diterima di samping ratusan aduan yang dikategorikan dalam masalah salah laku murid. Tindakan lain yang diambil oleh Kementerian Pelajaran adalah dengan membuka talian penting dan e-mel untuk mangsa buli dan keganasan di sekolah. Dengan cara ini, Kementerian Pelajaran akan mendapat maklumat tentang masalah disiplin dengan lebih tepat. Ibu bapa dan orang awam boleh membuat aduan tentang masalah disiplin murid. Selain itu, maklumat boleh disalurkan menerusi sistem pesanan ringkas(SMS) kepada pegawai yang bertanggungjawab.

Bagi menangani masalah disiplin yang berat, pihak sekolah dibenarkan untuk mendapatkan bantuan daripada polis. Sekiranya perlu, pihak polis dibenarkan untuk menahan murid yang berada di luar kawasan sekolah pada waktu persekolahan. Kementerian Pelajaran telah mengingatkan pihak sekolah bahawa mereka boleh dikenakan tindakan tatatertib jika menyembunyikan kes disiplin yang berlaku di sekolah masing-masing. Hal ini demikian kerana Kementerian Pelajaran menerima laporan bahawa terdapat pihak pentadbir sekolah, terutamanya sekolah yang berstatus elit, cuba menutup kes disiplin di sekolah mereka.

Sebenarnya masalah disiplin yang berlaku ini boleh ditangani menerusi prosedur yang sedia ada seperti mengenakan hukuman rotan, denda, gantung sekolah dan buang sekolah. Namun demikian, sebelum hukuman dikenakan, setiap kes itu mestilah disiasat puncanya terlebih dahulu. Tindakan ini diambil supaya kita dapat berlaku adil kepada murid tersebut kerana ada murid yang melakukan kesalahan disiplin semata-mata kerana ingin perhatian dan mereka sebenarnya bukan penjenayah. Kita akui bahawa masa depan negara amat bergantung pada kejayaan dan kemantapan sistem pendidikan. Kemantapan ini pula bergantung pada kecemerlangan kakitangan Kementerian Pelajaran melaksanakan peranan masing-masing. Dengan itu, akan tercapailah hasrat negara untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis selaras dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.




(Dipetik dan diubahsuaikan daripada ‘Realiti Semasa Masalah Disiplin Pelajar’ oleh Noor Khairiyati Mohd. Ali, Dewan Masyarakat, April 2007)



Soalan 2: Pemahaman

Soalan 2(a) - Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i)         Berikan maksud rangkai kata sekolah yang berstatus elit.[2 markah]

(ii)        Apakah peranan pendidikan di negara kita?[3 markah]

(iii)       Pada pendapat anda, bagaimanakah pendekatan kaunseling dapat mengurangkan masalah disiplin di sekolah?[4 markah]


 

Kata Sendi Nama

*Biasanya terdapat dalam kertas 2 BM SPM ( Soalan 3(d) Mengenal pasti kesalahan tatabahasa )

Kata Sendi Nama ialah kata yang digunakan untuk menyambung frasa nama dengan kata atau frasa-frasa dan ayat. Berdasarkan Tatabahasa Dewan Edisi Baharu (Nik Safiah Karim et. al : 2004 : 252), kata sendi nama ialah perkataan yang letaknya di hadapan frasa nama. 
Kata sendi nama terletak di hadapan kata nama, frasa nama atau kata ganti nama dan dipisahkan daripada perkataan yang mengikutnya. Kata sendi nama ialah perkataan yang digunakan untuk merangkaikan frasa nama dengan kata-kata atau frasa-frasa yang lain.

Ayat contoh:
David berasal dari Pulau Pinang
Analisis: Pulau Pinang adalah kata nama dan frasa nama. Maka kata sendi nama diletakkan di hadapan kata nama atau frasa nama.
FUNGSI
KATA SENDI NAMA
Arah
kepada
pada
dari
ke
Tempat
dari
di
ke
Perbandingan
daripada
terhadap
bagai
seperti
tentang
Tujuan
untuk
Waktu/Masa
pada
dari
ke
hingga
sejak
Bersama-sama
dengan


KATA SENDI NAMA
FUNGSI
AYAT CONTOH
Di
Menunjukkan tempat
Tidak boleh digunakan untuk menunjukkan masa
Ah Geok tinggal di Perak
Ke
Menunjukkan tempat arah dan masa
Dia hendak pergi ke Kedah pada bulan hadapan.
Ekspo Kerjaya ini dibuka dari pukul 10.00 pagi hingg ke pukul 5.00 petang.
Dari
Menunjukkan 
arah,tempat dan masa(ATM)
1.Bas itu dari selatan
2.David berasal dari Pulau Pinang
3.Ahmad menunggu kawannya dari pukul tiga petang tadi.
Hingga
Maksud had masa
Amin bekerja dari pagi hingga petang.
Dengan
Maksud bersama-sama
Ayah pergi ke pasar dengan adik
Daripada
(K)keanggotaan, 
(A)abstrak, 
(B)bandingan/benda, (O)orang/organisasi,
(S)sumber.
1.Pasukan itu terdiri daripada lima orang pemain yang berpengalaman.(K)
2.Kejayaannya bermula daripada kesusahan yang dialami.(A)
3.Bangunan Maybank lebih tinggi daripada bangunan itu.(B)
4.Chandran menerima surat itu daripada abangnya.(O)
5.Maklumat itu diperoleh daripada Dewan Siswa.(S)
Pada
Menunjukkan tempat bagi perbuatan sesuatu kata kerja.
Keterangan waktu.
Lukisan itu digantung pada dinding.
Hujan turun dengan lebat pada pagi semalam.
Kepada
Menunjukkan arah, tempat orang yang ditujui.
Surat jemputan itu ditujukan kepada pengerusi persatuan.
Bagi / Untuk
Menunjukkan tujuan sesuatu itu dilakukan
Hari Kantin diadakan bagi / untuk mengisi tabung kewangan sekolah.
Sejak / Sementara
Menunjukkan waktu / masa
Sejak pagi tadi, Munira asyik termenung saja.
Terhadap
Merujuk kepada unsur yang melibatkan penyambut yang tertentu.
Setiap pemuda mestilah menanam rasa hormat terhadap orang yang lebih tua.
Antara
Digunakan di depan kata nama yang membawa maksud
Antara makanan yang dihidangkan ialah sate.
Dalam
Sendi nama "di" atau "ke", "dalam" berfungsi untuk menunjukkan arah / tempat.
Seok Hwa berada di dalam bilik bacaan.
Daniel masuk ke dalam rumahnya.
Demi
Menunjukkan maksud tujuan
Kita mesti sanggup berkorban demi negara yang kita cintai.
Tentang
Maksud perkara atau hal yang dilakukan
Encik Ahmad memberitahu pelajarnya tentang latihan bola sepak yang akan diadakan pada hari Selasa.
Oleh
Maksud sebab
Murid-murid yang ponteng sekolah itu berjaya ditangkap oleh guru disiplin.
Akan
Menunjukkan maksud "kepada" atau "terhadap"
Amidi rindu akan keluarganya di Sabah.


Selasa, 15 Mac 2011

Pencuri Waktu Belajar


1.    Bertangguh-tangguh
2.    Menonton televisyen/video secara berlebihan
3.    "Chit-chat" dalam internet
4.    Kebiasaan/tabiat yang tidak produktif
5.    Angan-angan
6.    Main-main
7.   "Bergayut" di telefon
8.   Mendengar radio
9.   Lepak-lepak
10. Baca komik secara tidak terkawal
11. Main "game"-"video game", "sony playstation", "cyber pet"
12. Tidak ada jadual belajar
13. Jalan-jalan tanpa tujuan

Isnin, 14 Mac 2011

Kandungan Antologi "Harga Remaja" & "Dirgahayu Bahasaku"



Puisi Tradisional
1. Pantun Empat Kerat (Budi)
2. Pantun Empat Kerat (Jenaka dan Sindiran)
3. Syair Definisi Orang Berakal
4. Syair Siti Sianah
5. Gurindam 12 Fasal yang Keenam
6. Seloka Emak Si Randang
Sajak
1. Harga Remaja (Rahman Shaari)
2. Di Perpustakaan (Shafie Abu Bakar)
3. Mengintai Ruang Insaf (Shukri Abdullah)
4. Mahsuri (Zurinah Hassan)
5. Adat Sezaman (Wan Nazihah Wan Abdullah)
6. Tiba Waktunya (Ghazali Lateh)
Prosa Tradisional
1. Pelayaran yang Penuh Peristiwa
2. Merah Silu
3. Hikayat Indera Nata
4. Hikayat Khoja Maimun
Cerpen
1. Ibu dan Ceper (Shahnon Ahmad)
2. Memori Seorang Tua (Zahari Affandi)
3. Israk (Erda Roslan Khairi)
4. Pemain Catur (Zaharah Nawawi)
5. Mellisa (Abdullah Hussain)
6. Biarkan Samudera (Raihanah Salleh)
Drama
1. Gelanggang Tok Wali (Ismail Kassan)
2. Forum Remaja 2020 (Sharif Shaary)
3. Cempaka Berdarah (A. Rahim Abdullah)



Puisi Tradisional
1. Pantun Enam Kerat
2. Pantun Lapan Kerat
3. Syair Makna Riak
4. Syair Pemberontakan Patani
5. Gurindam Tonggak Dua Belas
6. Seloka Si Luncai
Sajak
1. Dirgahayu Bahasaku (Ahmad Sarju)
2. Kecek-(V) (Awang Abdullah)
3. Bangkitlah (Fejab F.I)
4. Pasar Perasaan (T. Alias Talib)
5. Di Bawah Langit Yang Sama (Lim Swee Tin)
6. Arkitek Kota (Muhammad Haji Salleh)
Prosa Tradisional
1. Hikayat Langlang Buana
2. Hikayat Siak
3. Dua Geliga Hikmat
4. Hikayat Opu Daeng Menambun
Cerpen
1. Pahlawan Buntung (S. Othman Kelantan)
2. Pungut Alias Zahara Alias Yap Siew Hong (Mohamed Latiff Mohamed)
3. Idola (Zaen Kasturi)
4. Penanggungan (Wijaya Mala)
5. Hutan Rimba (Sasjira)
6. Tanggar Amanat (Amaruszati Noor Rahim)
Drama
1. Tiang Cengal Dinding Sayung (Suriani Mohd. Yusof)
2. 1400 (Noordin Hassan)
3. Dato’ Onn (Amaruszati Noor Rahim)

Kaedah Menukarkan Cakap Ajuk atau Dialog kepada Cakap Pindah


Oleh
Mohd Azam Bin Ahmad- Guru Cemerlang Bahasa Melayu
Assalamualaikum.
Selalunya murid didapati berusaha menukarkan cakap ajuk atau dialog kepada cakap pindah secara wewenang atau "trial and error". Mereka tidak mempunyai suatu kaedah yang kukuh untuk menukarkan cakap ajuk atau dialog kepada cakap pindah. Oleh hal demikian, murid berasa sukar untuk melakukan usaha tersebut. Sehubungan dengan ini, saya ingin mengemukakan satu kaedah yang telah saya bentangkan untuk kali pertama di Kursus Profesionalisme Guru-Guru Bahasa Melayu Negeri Melaka di GoldCoast, Klang pada tahun 2007 lalu.
 

Kaedah: Menukarkan Cakap Ajuk atau Dialog kepada Cakap Pindah

Perhatikan cakap ajuk di bawah :
 
"Kamu makanlah segera. Kamu jangan lupa basuh pinggan," pesan ibu kepada Aini.

Untuk menukarkan cakap ajuk atau dialog di atas kepada cakap pindah, murid hendaklah berpegang pada tiga elemen komunikasi, iaitu :

a. Kenali Topik Perbincangan
b. Kenali persona
c. Kenali Konteks Komunikasi

Berdasarkan tiga elemen dalam komunikasi itu, murid akan mendapati:

a. Kenali Topik Perbincangan :
i. makanlah segera.
ii. jangan lupa basuh pinggan.
b. Kenali persona :
i. ibu
ii. Aini
c. Kenali Konteks :
i. pesan

Berdasarkan unsur dalam elemen komunikasi itu, murid boleh membina ayat sendiri dalam ragam cakap pindah. Misalnya,

 
i. Ibu berpesan kepada Aini supaya makanlah segera tetapi jangan lupa membasuh pinggan.

ii. Ibu memberikan pesanan kepada Aini supaya Aini makanlah segera dan jangan lupa membasuh pinggan.

iii. Ibu berpesan supaya Aini makanlah segera dan jangan lupa membasuh pinggan.

Berdasarkan tiga ayat di atas, semua unsur dalam elemen komunikasi dalam cakap ajuk atau dialog itu tidak tertinggal dalam proses menukarkannya kepada cakap pindah. Oleh hal demikian, wacana dalam cakap ajuk atau dialog itu tetap terpelihara dalam cakap pindah.

Kaedah ini juga membolehkan murid menukarkan cakap pindah kepada cakap ajuk atau dialog. Apabila murid mengenali unsur dalam elemen komunikasi tersebut, murid hanya perlu menggunakan unsur tersebut dalam membina cakap ajuk atau dialog sendiri. Proses membina cakap ajuk atau dialog ini adalah lebih mudah.

Sekian dan terima kasih.


Karangan Gred A


Analisis Soalan
Format karangan:          Tiada
Tajuk karangan:            Amalan berjimat cermat
Fokus karangan:           Kebaikan-kebaikan/Faedah-faedah/kepentingan-kepentingan

Strategi Pertama: Membina pendahuluan
Pendahuluan     = Tajuk karangan  +  Huraian tajuk  + Fokus karangan
= Ayat rangsangan (AR)  +  Ayat huraian (AH)  +  Ayat Arahan (AA)
= 50 – 60 patah perkataan

  CONTOH PENDAHULUAN JENIS PENDAPAT TOKOH
[AR] Sempena Hari Pengguna 2010, Perdana Menteri kita telah menyeru rakyat agar berjimat cermat dalam segala aspek kehidupan demi menjamin kebahagiaan dan kesejahteraan hidup. [AH1] Beliau juga menasihati rakyat agar ingat sebelum kena, jimat sebelum habis agar tidak menyesal kemudian hari. [AH2] Rakyat juga digesa agar tidak menjadi hamba kepada hawa nafsu ketika membeli-belah kerana ikut hati mati, ikut rasa binasa. [AA] Pada hemat saya, pandangan Perdana Menteri ini sewajarnya direnungi kerana banyak faedahnya jika amalan berjimat cermat dijadikan agenda utama dalam kamus hidup kita.

Strategi Kedua: Membina Perenggan Isi
Perenggan isi    = Idea karangan  +  Huraian idea +  Contoh  +  Kesimpulan
= Ayat topik (AT)  +  Ayat huraian (AH)  +  Ayat contoh (AC)  +  Ayat penyimpul (AP)
= 50 – 60 patah perkataan

[AT] Melalui amalan berjimat cermat, perbelanjaan harian dapat dikurangkan. [AH1] Hal ini demikian kerana kita membandingkan harga barang-barang yang hendak kita beli dan membeli barangan buatan tempatan yang lebih murah harganya. [AH2] Barang yang berkualiti dan mahal juga eloklah dibeli kerana alah membeli, menang memakai. [AC] Kasut sekolah Bata, misalnya, bukan sahaja tahan lama bahkan berbaloi. Pemakaian kasut ini memberikan keselesaan dan kepuasan. [AP] Dengan cara ini, bukan sahaja perbelanjaan harian dapat dijimatkan bahkan kebahagiaan terjamin.
[AT] Amalan berjimat cermat juga dapat menambah simpanan kita. [AH1] Apabila kita menjimatkan perbelanjaan, wang yang dihematkan dan ditabungkan di institusi kewangan akan meningkat, bak kata pepatah sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit. [AH2] Wang simpanan ini amat berguna ketika menghadapi waktu kecemasan seperti hendak menjalani pembedahan. [AC] Menurut Dato’ Michael Chong, kita tidak perlu “mengemis” dan menjadi mangsa ceti haram kerana lintah darat ini memang menangguk di air keruh dan menjadi duri dalam daging dalam kehidupan kita. [AP] Tegasnya, bukan sekadar wang tabung kita bertambah malah kesenangan hidup terpelihara.
[AT] Seterusnya, amalan berhemat dalam pengurusan kewangan akan mendidik seseorang individu untuk berdikari. [AH] Kita tidak perlu bersandar pada ibu bapa ataupun pada kerajaan untuk mendapatkan bantuan kewangan ataupun biasiswa demi mengongkosi pengajian kita di menara gading nanti. [AC] Dewasa ini, banyak pelajar cemerlang yang menggantungkan harapan pada biasiswa tajaan JPA dan pada pinjaman PTPTN. Apabila gagal beroleh bantuan kewangan, mereka pun seolah-olah langit runtuh, bumi cair ataupun kaca terhempas ke batu. [AH] Jadi, kita patut berjimat cermat untuk berdikari agar hidup kita lebih damai dan sejahtera.

Strategi Ketiga: Membina Perenggan Intiha
Perenggan isi    = Kesimpulan karangan  + Cadangan/Pandangan  + Harapan/Kesan
= Ayat kesimpulan(Aksmpln) +  Ayat cadangan (Acdgn)  +  Ayat harapan (Ahrpn)                               = 50 – 60 patah perkataan

 [A.kspln] Intihanya, cermat masa banyak, jimat masa sedikit! [A.cdgn] Kita hendaklah menghayati pesanan agama kita, yakni ingat akan kesakitan ketika sakit; ingat akan ketuaan usia ketika muda; ingat akan kematian ketika hidup; dan ingat akan kepapaan ketika kaya seandainya kita hendak bahagia sepanjang hayat. [A.hrpn1] Sehubungan ini, ibu bapa berperanan sebagai cermin perbandingan yang positif kepada si anak, dan bukannya seperti ketam menyuruh anaknya berjalan betul. [A.hrpn2]Dengan terpupuknya nilai positif ini dalam lubuk kalbu generasi muda, mereka akan senantiasa mampu memberi dan tidak akan meminta!