Khamis, 10 Februari 2011

Karangan Berdasarkan Gambar. Bahagian A (30 markah)

Menggunakan Teknik Formula

Kaji gambar-gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang cara-cara rakyat Malaysia mengisi masa cuti. Panjang huraian anda antara 200 hingga 250 patah perkataan.


               Malaysia satu-satunya negara yang kaya dengan pelbagai hari percutian kerana kepelbagaian kaum. Oleh itu, Malaysia mempunyai pelbagai destinasi menarik yang boleh dikunjungi oleh semua lapisan masyarakat.Rakyat Malaysia harus mengambil kesempatan untuk mengisi masa percutian ini dengan pelbagai cara kerana percutian bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim atau hubungan kekeluargaan, malah dapat menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi .  Sehubungan dengan itu, rakyat Malaysia patut mengisi masa cuti agar tidak terbuang begitu sahaja. Persoalannya, apakah cara-cara yang boleh dilakukan oleh rakyat Malaysia untuk mengisi masa cuti dengan aktiviti yang berfaedah?
            Salah satu bentuk percutian yang digalakkan adalah percutian kebudayaan. Rakyat seharusnya mengisi masa cuti dengan melawat ke pusat-pusat kebudayaan. Hal ini demikian kerana dapat memudahkan rakyat negara ini mengetahui budaya kaum lain yang unik dan menarik. Memang tidak dapat dinafikan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai pelbagai etnik seperti Melayu, Cina, India, dan sebagainya mampu menjaga keharmonian dalam negara tanpa melakukan rusuhan kaum. Setiap etnik ini mempunyai budayanya yang tersendiri sekali gus mempamerkan identiti sebenarnya sesuatu kaum. Fenomena ini dapat dilihat dari aspek pemakanan, tarian, pakaian, musim perayaan, dan sebagainya. Misalnya, pada musim perayaaan atau mengadakan rumah terbuka, etnik yang berbilang bangsa akan saling menziarahi antara satu sama lain.
            Selain itu, rakyat Malaysia boleh mengisi masa cuti dengan mengembara ke pelbagai destinasi alam semula jadi yang terdapat di negara kita.Rakyat harus mengambil kesempatan meneroka khazanah alam semula jadi seperti meyusur Sungai Pahang ke Taman Negara, Pahang, mendaki Gunung Kinabalu atau lain-lain destinasi alam semula jadi yang jarang dikunjungi. Hal ini dapat menambahkan pengalaman dan pengetahuan sekali gus memupuk sifat cinta akan alam semula jadi. Contohnya Pulau Langkawi masih lagi mempunyai keindahan alam sekitar yang belum dinodai oleh pembangunan negara yang begitu pesat. Khazanah alam semula jadi ini perlu dipelihara agar generasi akan datang dapat menikmati kurniaan Ilahi ini. Aktiviti mengembara ini mendedahkan kehidupan di kawasan hutan yang benar-benar menguji tahap kesabaran seseorang.
            Di samping itu, pusat-pusat beli-belah juga menjadi tumpuan rakyat Malaysia untuk mengisi masa cuti yang banyak. Hal ini demikian kerana pada cuti musim perayaan atau cuti hujung minggu amat sesuai untuk pergi membeli-belah. Peribahasa Melayu ada menyatakan, sambil menyelam minum air amat relevan dalam hal ini. Hal ini demikian kerana dengan berbelanja di pelbagai kompleks beli-belah bertaraf antarabangsa, secara tidak langsung, ekonomi negara akan meningkat. Tambahan pula, rakyat akan membeli barangan buatan Malaysia dan menyahut seruan kerajaan Belilah Barangan Buatan Malaysia.”. Antara pusat beli-belah yang sering dikunjungi ialah pusat penjualan batik, kedai cenderahati, kraf tangan, dan sebagainya.
            Sesungguhnya, rakyat Malaysia harus mengisi masa cuti dengan pelbagai cara kerana amalan percutian selaras dengan matlamat kerajaan membentuk keluarga bahagia menggenapi usaha “Rumahku, Syurgaku.” Dengan itu, marilah kita bersama-sama merealisasikan hasrat murni ini ke arah Malaysia yang “Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.” Tanpa kerjasama dan sokongan rakyat sudah pastilah ekonomi negara tidak akan berkembang maju.  Oleh itu, rakyat Malaysia diseru melancong dalam negeri sendiri yang mempunyai begitu banyak tempat menarik.
                                                                                                                          ( 470 patah perkataan)


Lihat gambar di bawah ini dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha memajukan ICT di negara kita. Panjangnya huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah kata.


            Secara ringkas ICT bermaksud maklumat dan teknologi yang disampaikan dari sumber kepada penerima melalui saluran teknologi. Darsawarsa ini, kemajuan ICT atau Industri Teknologi Komunikasi dan Maklumat Negara kita sudah boleh dikatakan maju dan mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain. Banyak usaha telah dilakukan dalam memajukan ICT negara kita.

            Kemajuan penggunaan ICT dalam kalangan penduduk negara ini diwujudkan melalui Koridor Raya Multimedia (MSC) iaitu suatu projek raksasa kerajaan Malaysia untuk memajukan sektor teknologi maklumat. Penubuhan Koridor Raya Multimedia ibarat enjin yang dapat memacu Malaysia ke arah pencapaian negara maju menjelang 2020 dan menyediakan ICT bertaraf dunia yang komprehensif. Hal ini dapat mewujudkan persekitaran kerja dan kehidupan yang mendorong pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan. MSC ternyata menjadi pemangkin kepada kepada syarikat ICT di Malaysia berdaya saing supaya dapat berkembang sebagai syarikat bertaraf dunia.

            Negara berusaha meluaskan ICT kepada seluruh masyarakat misalnya kemudahan komputer di Malaysia adalah lebih 65% terutama ditempat kerja dan perumahan. Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia tahun 2001, sehingga akhir tahun 2020 dianggarkan pengguna internet di negara ini menjangkau 2614 juta orang. Selain itu statistik dari suruhanjaya juga menunjukkan perkembangan dan pertambahan penggunaan internet di Malaysia dari tahun 1995- 2002 sentiasa meningkat dari tahun ke tahun iaitu sebanyak 77.25% jika dihitung secara kadar purata pertumbuhan. Ternyata usaha kita menjadikan masyarakat kita “celik’ ICT menampakkan kejayaan.

            Bukan itu sahaja, kemajuan ICT semakin rancak dalam bidang pendidikan. Tidak hairanlah tema hari guru tahun 2006 turut berkaitan usaha kerajaan untuk membudayakan ICT dalam kalangan pelajar dan pendidik iaitu “Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan”. Sehingga kini 4500 buah sekolah disediakan makmal komputer dengan 99 ribu unit komputer. Bukan itu sahaja, setakat ini sebanyak 8120 sekolah dihubungkan dengan kemudahan jalur lebar school-net dan 14 ribu unit televisyen. Ternyata penggunaan teknologi maklumat dapat memajukan dan merevolusikan bidang pendidikan negara. Diharap sekolah-sekolah dapat berkongsi maklumat melalui sidang video.Dengan ini hasrat kita untuk memperkasakan bidang pendidikan bukan hanya mimpi.

            Selain itu, kemajuan ICT di bawah Majlis IT Negara (NITC) telah melancarkan Agenda Teras Strategik yang mendorong pembabitan rakyat dan institusi secara efektif dalam kemunculan rangkaian persekitaran global. Lima agendanya ialah E-Ekonomi, E-Perkhidmatan Awam, E-Komuniti, E-Pembelajaran dan E-Kedaulatan. NITC juga telah menubuhkan Jawatankuasa Pelaksanaan Teras Strategik (STIC) untuk merealisasikan Agenda Teras Strategik. Setakat ini STIC berjaya menggerakkan sektor awam dan swasta melaksanakan 30 projek termasuklah Pusat Pertukaran Sumber E-Komuniti, Grid Pembelajaran Kebangsaan, Dana ICT Komuniti dan SJ2005. Dengan ini kita mampu menjadikan Malaysia gah maju dalam teknologi maklumat dan bukan dianggap negara dunia ketiga lagi.

            Dalam dunia serba kompetatif ini, usaha murni kerajaan melalui Dasar Telekomunikasi Kerajaan 1994-2020 patut dimanfaatkan oleh semua. Kerajaan akan menyediakan infrastruktur dan utiliti yang mencukupi dan berteknologi memenuhi kehendak masyarakat atau sebuah bandar moden. Pembangunan infrastruktur itu merangkumi projek syarikat kerajaan mahupun swasta seperti Syarikat Telekom Malaysia Berhad (STMB) dan beberapa syarikat lain seperti Maxis, Celcom, Digi, TM Touch dan lain-lain lagi. Setakat ini, pihak kerajaan sentiasa mengkaji dan menilai agar telekomunikasi berteknologi tinggi dan aplikasi pengguna ICT benar-benar memberangsangkan ekonomi negara di peringkat global.

            Konklusinya, kemajuan ICT negara yang memberangsangkan sepatutnya tidak dilepaskan begitu sahaja oleh kita semua dalam merealisasi wawasan 2020. Sesungguhnya kita belum boleh mendabik dada kerana cabaran ICT mendatang harus ditempuh oleh semua rakyat Malaysia dengan penuh persediaan kata orang kalau takut dilambung ombak, janganlah berumah di tepi pantai. Tegasnya, kerjasama semua pihak penting dalam usaha memajukan lagi ICT di negara kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan