Pendahuluan
I = Isu
K = Kesan isu
T = Tindakan umum untuk menangani isu
H = Hasil tindakan
H = Hubung kait dengan soalan
Isi
T = Ayat Topik (terdiri daripada DUA Frasa
H = Huraian topik
C= Contoh
P = Penegasan
Kesimpulan
R = Rumusan keseluruhan
C = Cadangan umum
A = Amaran peringatan yang bakal berlaku
H = Harapan penulis terhadap isu.
Semua perkara di atas diaplikasikan dalam karangan-karangan contoh sebelum ini.
Kelebihan penggunaan formula dalam aktiviti mengarang.
1. Karangan menjadi panjang dan memenuhi arahan soalan. (Biasanya 450 perkataan ke atas)
2. Murid tidak membuang masa memikirkan perkara yang hendak ditulis.
3. Hala tuju karangan jelas dan tidak terkeluar tajuk.
4. Perenggan yang seimbang dan sekata.
5. Komponen karangan lengkap - ada pendahuluan, perenggan isi yang jelas, dan kesimpulan.
I = Isu
K = Kesan isu
T = Tindakan umum untuk menangani isu
H = Hasil tindakan
H = Hubung kait dengan soalan
Isi
T = Ayat Topik (terdiri daripada DUA Frasa
H = Huraian topik
C= Contoh
P = Penegasan
Kesimpulan
R = Rumusan keseluruhan
C = Cadangan umum
A = Amaran peringatan yang bakal berlaku
H = Harapan penulis terhadap isu.
Semua perkara di atas diaplikasikan dalam karangan-karangan contoh sebelum ini.
Kelebihan penggunaan formula dalam aktiviti mengarang.
1. Karangan menjadi panjang dan memenuhi arahan soalan. (Biasanya 450 perkataan ke atas)
2. Murid tidak membuang masa memikirkan perkara yang hendak ditulis.
3. Hala tuju karangan jelas dan tidak terkeluar tajuk.
4. Perenggan yang seimbang dan sekata.
5. Komponen karangan lengkap - ada pendahuluan, perenggan isi yang jelas, dan kesimpulan.
Karangan Rencana Menggunakan Teknik Formula
Masalah pencemaran alam semakin meruncing sejak akhir-akhir ini. Anda ingin menulis rencana tentang langkah-langkah untuk mengatasi masalah tersebut. Tulis rencana anda selengkapnya.Langkah-Langkah Untuk Mengatasi Pencemaran Alam
Oleh Hamzani Hamzah
Pencemaran alam merupakan isu yang sering menjadi buah mulut masyarakat sejak belakangan ini. Setiap hari terdapat laporan media tentang gejala pencemaran alam. Hal ini telah menyebabkan pelbagai pihak berasa bimbang akan gejala tersebut. Pihak kerajaan dengan pertubuhan bukan kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha untuk memastikan alam sekitar terpelihara.Walau bagaimanapun, gejala pencemaran alam masih lagi berleluasa seolah-olah tidak ada penghujungnya. Jika ditinjau dengan mendalam, terdapat beberapa langkah yang konkrit untuk menangani gejala ini.
Salah satu langkah yang dapat digunakan untuk mengatasi pencemaran alam ialah pihak berwajib menghukum individu atau organisasi yang telah didapati bersalah mencemarkan alam sekitar. Pihak berwajib seperti Kementerian Sains, Teknologi, dan Alam Sekitar wajar menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada untuk menghukum pihak-pihak yang berkenaan. Hukuman yang dikenakan hendaklah setimpal dengan kesalahan pihak terbabit mencemarkan alam. Selain itu, tindakan penguatkuasaan undang-undang hendaklah dilaksanakan tanpa sikap memilih bulu dan dilakukan secara tekal dan tidak seperti melepaskan batuk di tangga. Individu dan organisasi yang mencemarkan alam biasanya tidak serik dengan hukuman yang dikenakan. Mereka akan mengulangi perbuatan keji ini jika hukuman yang dikenakan terhadap mereka tidak begitu berat. Malahan ada yang sanggup membayar denda kerana mencemarkan alam sekitar kerana mereka tahu denda tersebut hanya sekali sahaja. Mereka bebas melakukan kesalahan setelah menjelaskan denda yang dikenakan. Oleh itu, pihak berwajib mestilah lebih tegas dalam mengenakan hukuman terhadap pihak yang melakukan pencemaran.Selain itu, pihak sekolah hendaklah memperkenalkan pendidikan alam sekitar kepada murid-murid sekolah. Pendidikan alam sekitar melibatkan pelbagai aspek yang menjurus ke arah pengekalan alam yang sejahtera. Satu kurikulum yang khusus perlu digubal agar pendedahan yang sistematik dapat dilaksanakan. Kurikulum ini boleh diselitkan dalam mata pelajaran lain dan boleh juga dijadikan mata pelajaran khusus. Hal ini bertujuan untuk menyemaikan kesedaran secara lebih berkesan. Murid sekolah khususnya yang belajar di sekolah rendah wajar didedahkan dengan pengetahuan tentang alam sekitar dengan lebih sistematik. Jika sejak kecil mereka diberikan pendedahan sedemikian, mereka akan berasa lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar apabila mereka dewasa nanti. Langkah ini akan mengatasi gejala pencemaran alam pada masa akan datang, bak kata pepatah melentur bulu biarlah dari rebungnya. Jadi, pengenalan pendidikan alam sekitar di peringkat sekolah merupakan satu langkah untuk mengatasi pencemaran alam.
Langkah untuk mengatasi pencemaran alam seterusnya ialah pihak kerajaan perlu melaksanakan kempen dengan lebih berkesan. Kempen merupakan kaedah yang paling berkesan untuk menyampaikan sesuatu maklumat tentang pelbagai perkara. Pelbagai media massa dapat digunakan untuk menjadi wadah penyampaian maklumat melalui kempen. Contohnya, televisyen merupakan media yang paling dekat dengan masyarakat. Pada umumnya setiap rumah di negara kita mempunyai set televisyen. Oleh itu, televisyen wajar digunakan sebaik-baiknya untuk menyalurkan maklumat tentang langkah-langkah mengatasi pencemaran alam. Media-media lain seperti surat khabar dan radio juga wajar digunakan sepenuhnya untuk menjadi wadah kempen penjagaan alam sekitar. Selama ini kempen yang dilaksanakan tidak begitu berkesan. Pihak yang terbabit hanya melaksanakan kempen tidak ubah seperti pahat dengan penukul. Adakalanya kempen yang dilaksanakan bersifat aktiviti bermusim. Oleh yang demikian, kempen yang lebih berkesan dan dijalankan dengan bersungguh-sungguh dapat mengatasi masalah pencemaran alam sekitar.
Kesimpulannya, terdapat pelbagai langkah yang dikenal pasti dapat mengatasi masalah pencemaran alam sekitar jika dilaksanakan dengan penuh iltizam. Dalam hal ini, semua pihak perlulah bekerjasama untuk memastikan langkah-langkah yang dirancangkan dapat dilaksanakan dengan berkesan kerana alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Jika alam sekitar terus terabai, generasi akan datang pasti menghadapi masalah alam sekitar yang lebih buruk. Kerjasama dan kesungguhan semua pihak menyelesaikan masalah ini diharapkan dapat mengatasi gejala pencemaran alam dengan lebih berkesan.
(550 perkataan)
Karangan Contoh
Gejala penerokaan hutan secara haram semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini. Bincangkan kesan-kesan penerokaan hutan secara haram terhadap masyarakat dan negara ini.
Penerokaan hutan secara haram merupakan isu yang sering menjadi buah mulut masyarakat sejak akhir-akhir ini. Hal ini telah membangkitkan kebimbangan dalam kalangan pencinta alam dan juga masyarakat secara keseluruhannya. Pihak berwajib telah melaksanakan pelbagai usaha untuk memastikan penerokaan hutan secara haram dapat dibanteras hingga ke akar umbi. Namun demikian, sehingga kini belum ada jalan penyelesaian yang konkrit untuk memastikan kawasan hutan negara ini tidak diceroboh oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Sesungguhnya penerokaan hutan secara haram sudah pasti akan meninggalkan pelbagai kesan terhadap masyarakat dan negara.
Antara kesan yang paling ketara disebabkan oleh penerokaan hutan secara haram ialah negara akan kehilangan hasil kayu balak akibat dicuri oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Hasil kayu-kayan merupakan sumber pendapatan negara yang lumayan. Negara kita mempunyai pelbagai spesies kayu yang tinggi nilainya. Contohnya, kayu cengal dan meranti merupakan dua spesies kayu yang terdapat di kawasan hutan negara ini. Kayu jenis ini kini amat sukar didapati kerana telah dicuri oleh pihak pembalak haram yang mementingkan keuntungan peribadi semata-mata. Pihak ini tidak ubah seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Golongan peneroka haram ini tidak berhati perut dan sanggup meneroka kawasan hutan tanpa memikirkan kesannya terhadap orang lain. Mereka juga tidak langsung memikirkan kesan perbuatan mereka terhadap alam sekitar kita yang semakin terancam. Jadi, penerokaan hutan secara haram akan menyebabkan negara kehilangan hasil kayu yang banyak.
Kesan yang seterusnya ialah alam sekitar akan tercemar akibat penggondolan kawasan tadahan hujan. Alam sekitar merupakan khazanah yang sangat berharga kepada manusia. Alam sekitar yang terjaga membawa banyak kebaikan pada setiap makhluk di dunia ini. Dengan pengekalan alam sekitar keseimbangan alam akan terus lestari dan kehidupan makhluk sejagat akan sejahtera. Penggondolan kawasan tadahan sudah pasti akan menjejaskan alam sekitar. Tumbuh-tumbuhan yang menjadi benteng pertahanan alam musnah akibat aktiviti penggondolan hutan yang berfungsi sebagai kawasan tadahan hujan. Hal ini tidak ubah seperti meletakkan garam pada luka. Alam yang semakin terancam sudah pasti menjadi lebih parah dengan aktiviti penggondolan kawasan tadahan ini. Oleh itu, penerokaan hutan secara berleluasa menyebabkan alam sekitar tercemar.
Penerokaan hutan secara haram juga akan menyebabkan banjir kilat di kawasan-kawasan hilir sungai yang rendah kedudukannya. Banjir kilat ialah bencana alam yang berlaku secara mendadak. Biasanya banjir kilat akan mendatangkan kesusahan pada masyarakat kerana bencana ini berlaku secara tiba-tiba, justeru usaha menyelamatkan diri dan harta benda hampir mustahil. Akibatnya bencana seperti ini akan mengakibatkan kematian dan kehilangan harta benda yang banyak. Lebih buruk lagi, kawasan yang sering dilanda banjir kilat terletak di kawasan hilir sungai yang rendah kedudukannya. Sebagai contoh Lembah Kelang merupakan kawasan pamah yang sering dilanda banjir kilat akibat kerja-kerja penerokaan hutan di bahagian hulu. Oleh sebab itu, penduduk di Kuala Lumpur sering menerima tempias apabila berlaku hujan lebat di kawasan tanah tinggi. Hal ini tidak ubah orang lain yang makan nangka, orang lain yang kena getahnya. Oleh yang demikian, jelaslah penerokaan hutan akan menyebabkan banjir kilat yang serius.
Akhir sekali, penerokaan hutan secara haram juga akan menjejaskan habitat haiwan yang dilindungi oleh kerajaan. Hutan merupakan habitat semula jadi bagi kebanyakan haiwan liar. Habitat ini menjadi tempat binatang-binatang mencari makan, berlindung, dan membiak. Keadaan ini akan memungkinkan spesies haiwan berkenaan terus wujud dan dapat disaksikan oleh generasi manusia yang akan datang. Haiwan yang dilindungi ialah haiwan yang semakin pupus dan sukar ditemukan. Antaranya ialah gajah, tapir, beruang, harimau, dan pelbagai jenis haiwan lain. Jika kerajaan tidak mengambil langkah untuk melindungi haiwan ini, ada kemungkinan haiwan-haiwan berkenaan hanya tinggal nama sahaja, sama keadaannya seperti yang berlaku terhadap dinosaur. Penerokaan hutan yang rakus akan membantutkan usaha murni kerajaan umpama yang dikejar tak dapat yang dikendong keciciran. Jadi, tidak dapat dinafikan bahawa penerokaan hutan secara haram akan menyebabkan habitat haiwan terjejas, sekali gus mengancam kelangsungan hidup haiwan-haiwan yang dilindungi.
Kesimpulannya, penerokaan hutan secara haram dan tidak terancang akan mendatangkan banyak keburukan pada manusia dan alam sekitar. Oleh itu, semua pihak mestilah menggemblengkan tenaga dan buah fikiran untuk memastikan gejala ini dapat diatasi dengan segera, bak kata pepatah yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Jika tidak, generasi akan datang tidak akan menikmati keindahan alam dan mengenali spesies haiwan yang ada sekarang. Komitmen dan kerjasama semua pihak sudah pasti akan mewujudkan negara Malaysia yang hijau dan harmoni.
670 perkataan
Sumber: Cikgu Dr. Ghazali Lateh
dah sya tengok..itu jak ka??
BalasPadambahan-bahan lain akan datang, tunggu.......
BalasPadamsangat memanfaatkan. terima kasih
BalasPadamsangat memanfaatkan. terima kasih
BalasPadamtipulah ni
BalasPadam𝕊𝕒𝕟𝕘𝕒𝕥 𝕞𝕖𝕞𝕓𝕒𝕟𝕥𝕦 .... 𝕥𝕖𝕣𝕚𝕞𝕒 𝕜𝕒𝕤𝕚𝕙
BalasPadam