Jumaat, 25 Februari 2011

Ulasan Sajak "KECEK – (V)"


KECEK – (V)

1
seorang pengarah
membuka akaun semasanya
di sebuah bank ternama
tetapi dalam diam
dia mencantum kemiskinan
orang lain
ke dalam amanahnya
yang telah lama pecah.

2
di kampung
seorang petani
membuka akaun kemiskinannya
di ruang kedaifan
dan mengunci sedozen anak-anaknya
di dalam pagar sengsara
tetapi dia tidak pernah mencantum
kekayaan orang lain
ke dalam getirnya
yang sudah lama
berumbi.

3
di pantai
seorang nelayan
membuka akaun sengsaranya
di rahang laut ternganga
dan mengurung sederet anak-anaknya
di bawah pusaran nasib
tetapi dia tak pernah mengumpul
kesenangan orang lain
ke dalam kegusarannya
yang telah sekian musim
berlumut
di papan hidupnya.

4
Tuhan tidak pernah mungkir
mencatat setiap angka
dan nilai hitungnya paling kecil
ke dalam akaun-Nya
di rumah keadilan.

Awang Abdullah
(Antologi Dirgahayu Bahasaku,
Dewan Bahasa dan Pustaka)

ANALISIS SAJAK
Maksud kecek ialah
i. Cakap
ii. Celoteh
iii. Borak

Celoteh dalam sajak ini ialah tentang kelakuan manusia yang sering dilihat dalam masyarakat kini.

Secara umum sajak ini membicarakan dua kelompok manusia
yang terdapat dalam kehidupan kita.

I. kelompok pertama ialah golongan yang tidak jujur dan amanah sedangkan hidup sudah berada dalam kesenangan/GOLONGAN KAYA
II. kelompok kedua ialah golongan yang daif tetapi tidak terfikir untuk menipu/
GOLONGAN MARHAEN

Secara terus terang dan jujur penyajak memberi peringatan tentang balasan tuhan terhadap semua perbuatan manusia sama ada baik atau jahat.
Manusia tidak dapat lari daripada janji Tuhan iaitu pengadilan seadil-adilnya di akhirat nanti.


Maksud rangkap 1
Seorang pengarah yang pecah amanah terhadap tanggungjawabnya. Dia mengumpul harta kekayaan peribadi melalui harta golongan yang kurang berada secara halus tanpa dapat dikesan/melalui jalan penipuan.

Maksud rangkap 2
Kehidupan seorang petani miskin di kampung; mempunyai 12 orang anak yang sudah lama hidup dalam kesusahan tetapi tidak pernah mengambil harta kekayaan orang lain untuk mengatasi kesengsaraan hidupnya. Petani ini tidak pernah terfikir untuk menipu sesiapa.

Maksud rangkap 3
Kehidupan seorang nelayan dengan anak-anak yang ramai . Hidupnya susah namun tidak pernah terfikir untuk merampas kesenangan orang lain untuk mengatasi kesempitan hidup yang telah lama dideritainya.

Maksud rangkap 4
Tuhan sentiasa menghitung amalan manusia walaupun sangat kecil amalan tersebut. Tuhan mencatat setiap perbuatan manusia untuk diadili dengan saksama di akhirat kelak.

TEMA
Kejujuran manusia
Secara sinis penyajak mengkritik sikap manusia yang tidak jujur dalam mencari harta kekayaan sehingga sanggup menipu dan pecah amanah terhadap kepercayaan yang diberikan.
Penyajak menegur sikap orang yang berpengaruh iaitu seorang pengarah yang pecah amanah membolot wang orang lain melalui akaun simpanan peribadinya di bank.
Penyajak membandingkan hidup petani dan nelayan yang daif dan miskin tetapi tidak pernah mengambil kesempatan untuk menipu orang lain untuk mencari kesenangan

PERSOALAN
i. Sikap tamak manusia yang sanggup menipu demi mengejar kekayaan tanpa mempeduli kesusahan orang lain
ii. Sifat tidak amanah dalam kalangan orang yang berada dan berpengaruh
iii. Golongan miskin yang tidak pernah mengambil kesempatan dengan kekayaan orang lain semata-mata mahu hidup senang
iv. Keadilan Tuhan terhadap manusia
v. Setiap perbuatan walaupun sekecil mana akan dinilai oleh Tuhan dengan saksama dan seadil-adilnya di akhirat nanti
vi. Manusia tidak akan dapat lari daripada pengadilan Tuhan
vii. Setiap perbuatan yang jahat akan mendapat balasan yang jahat sementara perbuatan yang baik akan dibalas dengan kebaikan oleh Tuhan
viii. Semua perbuatan manusia tidak akan terlepas daripada pengetahuan Tuhan.

NILAI
i. Kejujuran
Golongan petani dan nelayan yang susah tidak pernah menipu untuk mencari kesenangan hidup.
ii. Keadilan
Tuhan akan membalas perbuatan manusia seadil-adilnya
iii. Keredaan
Golongan nelayan dan petani reda dengan kesusahan hidup dan tidak pernah terfikir untuk menipu orang lain bagi mencari kesenangan

PENGAJARAN
i. Kita hendaklah memikul amanah yang diberi dengan jujur tanpa ada perasaan ingin menipu
ii. Kita hendaklah ingat dan takut akan balasan Tuhan jika terdetik mahu melakukan kesalahan
iii. Kita hendaklah menerima ketentuan hidup yang direncanakan Tuhan dengan reda dan ikhlas
iv. Kita mesti percaya akan keadilan Tuhan terhadap setiap perbuatan yang kita lakukan
v. Kita jangan mengambil kesempatan dengan kedudukan dan pengaruh kita untuk mengaut keuntungan peribadi

LATAR MASYARAKAT
i. Masyarakat yang berkuasa dan berpengaruh
Contoh; seorang pengarah yang mempunyai akaun semasa di bank
ii. Masyarakat yang miskin dan daif
Contoh: nelayan yang mempunyai sederet anak yang hidup susah
Petani yang mempunyai sedozen anak yang hidup susah
iii. Masyarakat yang tidak taat perintah tuhan
Contoh: seorang pengarah yang pecah amanah: mengumpul wang orang lain ke dalam akaun semasanya
iv. Masyarakat yang jujur/ikhlas/reda dalam kehidupan
Contoh: nelayan tidak pernah mengambil kesempatan untuk menipu walaupun hidup susah
v. Masyarakat yang rosak akhlak
Contoh: seorang pengarah yang pecah amanah dengan mengambil wang orang lain dan dimasukkan ke dalam simpanan peribadinya.



Rabu, 23 Februari 2011

Soalan Novel "Kabus di Perbukitan"

 

a) Huraikan tiga persoalan yang terdapat dalam novel yang anda pelajari.[7 markah]

            Antara persoalan yang terdapat dalam novel Kabus di Perbukitan ialah persoalan pertanian sangat penting dalam ekonomi sesebuah negara. Sebagai contohnya, Azrul berjaya dalam hidupnya apabila dia memutuskan untuk bekerja sendiri setelah menamatkan pengajian. Bermula dengan menternak kambing, kini Azrul atau Datuk Azrul menjadi usahawan yang berjaya. Selain itu, persoalan kerja sosial, iaitu mendidik anak-anak istimewa seperti sindrom down. Contohnya Faridah menjadi sukarelawan untuk mendidik anak-anak istimewa itu. Di samping itu, persoalan seterusnya ialah persoalan ikatan kekeluargaan yang erat. Persoalan ini digambarkan melalui Faridah dan Rahayu yang merupakan pasangan kembar tetapi dibesarkan secara berasingan oleh ibu bapa mereka. Hal ini demikian kerana Rahayu dijaga oleh ayah dan ibu tirinya, manakala Faridah dibela oleh ibunya sendiri. Namun demikian Rahayu sentiasa merindui kakaknya, Faridah. Akhirnya, persoalan keretakan rumah tangga yang memisahkan ahli keluarga cuba diketengahkan oleh pengarang. Contohnya perceraian Mejar (B) Kamaruddin dengan Salmah mengakibatkan Rahayu dan Faridah terpisah.     

b) Jelaskan maksud tema dan huraikan tema novel yang anda kaji.[7 markah]

            Tema novel Kabus di Perbukitan karya Mohamad Kholid Hamzah ini bertemakan kasih sayang seorang wanita yang mendalam terhadap keluarga dan tanah airnya. Hal ini terbukti apabila Faridah yang sudah berkahwin ingin tinggal bersama ibunya untuk menjaganya. Dia tidak mengikut suaminya yang bekerja di Kelang. Walaupun sudah lama menetap di New Zealand, kasih dan ingatannya pada kampung halaman tidak pernah pudar.

c) Huraikan tiga latar masyarakat yang terdapat dalam novel yang anda kaji.[7 markah]

           Tiga latar masyarakat yang terdapat dalam novel ini ialah masyarakat yang tabah menghadapi dugaan. Sebagai contohnya, Faridah menempuh pelbagai dugaan dalam hidupnya seperti putus tunang, kemalangan, koma, kematian suami, dan sebagainya. Latar masyarakat yang seterusnya ialah masyarakat yang mengamalkan perkahwinan campur. Faridah telah berkahwin dengan Samuel Johnsons, manakala Melina berkahwin dengan Benny. Selain itu, masyarakat yang gigih berusaha juga dipaparkan dalam novel ini. Azrul yang berusaha gigih mengusahakan bidang pertanian akhirnya berjaya muncul sebagai Penternak Jaya Kebangsaan. 

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut Novel Kabus di Perbukitan, klik blog ini kabusdiperbukitan.blogspot 

Antara soalan novel yang telah keluar dalam peperiksaan percubaan SPM 1 SMKTT 2010:
(a) Jelaskan persoalan-persoalan yang diutarakan oleh pengarang dalam novel yang anda pelajari.[7 markah]
2 persoalan: 4 markah, bahasa: 3 markah.
(b) Bincangkan tiga pengajaran yang terdapat dalam novel yang anda kaji.[8 markah]
3 pengajaran: 6 markah, bahasa: 2 markah.

Selasa, 22 Februari 2011

Karangan 1 Malaysia : isi penting karangan




Bincangkan peranan remaja dalam menjayakan Gagasan 1 Malaysia.

Pendahuluan

Gagasan 1 Malaysia telah diperkenalkan oleh pemimpin negara.
Slogan - Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.
Rakyat Malaysia perlu menghayati falsafah gagasan ini, terutama golongan remaja.

Isi 1
- Remaja melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan.
- Menguasai ilmu pengetahuan baharu selaras dengan perkembangan zaman.
- Tujuannya untuk membolehkan remaja menjadi cemerlang.
- Peribahasa : jika tidak dipecahkan ruyung, di mana akan mendapat sagunya.

Isi 2
- Remaja mengamalkan semangat perpaduan.
- Hormat-menghormati antara satu sama lain.
- Memahami budaya, agama yang pelbagai.
- Bergerak seiring untuk mencapai negara maju.
- Peribahasa : Ke gunung sama di daki, ke lurah sama dituruni.

Isi 3
- Remaja memantapkan sahsiah diri.
- Mengamalkan budaya sopan santun.
- melengkapkan diri dengan ajaran agama dan pendidikan moral.
- Remaja Malaysia menjadi ikon imej baik di peringkat global.
- Peribahasa : kalau sudah benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau.

Isi 4
- Menghayati dan mengamalkan rukun negara.
- menjadi warganegara yang berintegriti.
- pembentukan modal insan yang cemerlang.
- memacu negara ke arah wawasan 2020.
- Peribahasa : bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.

Kesimpulan
Remaja ialah aset negara. Semua pihak perlu mendidik remaja ke arah pencapaian matlamat Gagasan 1 Malaysia. Usaha yang berterusan akan menjadikan remaja hari ini sebagai pemimpin yang berkaliber pada masa depan.

Isnin, 21 Februari 2011

Penanda Yang Perlu Ada Dalam Karangan



PERENGGAN PENDAHULUAN
i) Penanda permulaan karangan
a) Pada era globalisasi ini,
b) Pada zaman pascakemerdekaan ini,
c) Dalam meniti arus kemodenan ini,
d) Dewasa ini,
e) Pada masa ini,
f) Kini,
g) Dasawarsa ini,
h) Dalam meniti kehidupan pada marcapada,
i) Sejak sedekad yang lalu,
j) Sejak negara menikmati arus kemerdekaan,
k) Kebelakangan ini,
l) Belakangan ini,
m) Sejak akhir-akhir ini,

PERENGGAN ISI
i) Penanda memulakan isi baharu
a) Antara/ Salah satu (isi 1)
b)Selain itu,(isi 2)
c) Di samping itu,
d) Sementara itu,
e) Lebih-lebih lagi,
f) Dalam pada itu,
g) Lain daripada itu,
h) Pada waktu yang sama,
i) Dalam pada itu,
j) Seterusnya,

ii) Penanda huraian isi karangan
a) Hal ini demikian kerana
b) Hal ini berlaku kerana
c) Hal ini terjadi kerana
d) Hal ini disebabkan oleh
e) Hal ini wujud akibat daripada
f) Hal ini bersangkut-paut dengan
g) Hal ini berpunca daripada
h) Hal ini tercetus apabila
i) Hal ini timbul apakala



iii) Penanda memberi contoh dalam karangan
a) Misalnya,
b) Contohnya,
c) Sebagai contoh,
d) Tamsilnya,
e) Sebagaimana yang kita sedia maklum,
f) Antaranya adalah seperti

iv) Penanda menghuraikan contoh
a) Hal ini mengakibatkan
b) Hal ini menyebabkan
c) Oleh itu,
d) Maka,
e) Oleh hal yang demikian,
f) Oleh sebab itu,
g) Jelaslah bahawa
h) Justifikasinya,

v) Penanda menutup isi
a) Kesannya,
b) Natijahnya,
c) Akibatnya,
d) Akhirnya,
e) Dengan itu,
f) Dengan berbuat demikian,
g) Dengan keadaan sedemikian,

vi) Penanda menulis dua huraian dalam satu ayat
Contoh:
Masalah sosial yang dibincangkan oleh masyarakat ini memang memeningkan kepala (Huraian 1) _(x)_ membimbangkan semua pihak. (Huraian 2)

a) justeru
b) malah
c) malahan
d) tambahan pula
e) sementelahan
f) sekali gus
g) di samping
h) bahkan



PERENGGAN PENUTUP
i) Penanda memulakan perenggan penutup
a) Kesimpulannya,
b) Intihanya,
c) Secara tuntas,
d) Konklusinya,
e) Sebagai penutup wacana,
f) Sebagai penghias bicara akhir,
g) Sebelum mengakhiri wacana ini,
h) Secara keseluruhan,
i) Secara total,


i) Penanda menerangkan huraian atau pendapat yang berbeza
a) Walau bagaimanapun,
b) Walakin begitu,
c) Namun demikian,
d) Daripada perspektif yang berbeza,
e) Jika dilihat dari sudut lain,
f) Dengan kata lain,
g) Kontradiksinya,
i) Di sebalik itu,
j) Dalam pada itu,
k) Dari sudut lain,

ii) Penanda memulakan atau memasukkan peribahasa
a) Bak kata peribahasa, .......
b) Bak kata peribahasa Melayu, ............
c) Bak kata orang tua-tua, ...........
d) Bak kata mutiara, .........
e) Bak peribahasa, ............
f) Bak kata cendekiawan, .............
g) Persis kata peribahasa, ............
h) Persis kata peribahasa Melayu, .............
i) Persis kata orang tua-tua, ............
j) Persis kata mutiara, ............
k) Persis peribahasa, ...............
l) Persis kata cendekiawan, .............
m) Hal ini sama dengan peribahasa ..........
n) Senario ini persis dengan peribahasa Melayu, yakni .......
o) Fenomena ini dikatakan
p) Masalah ini sama dengan peribahasa ...........

Jumaat, 18 Februari 2011

Ulasan Sajak “Harga Remaja”

 
Harga Remaja 
Berapakah sebenarnya harga remaja
yang bersih
dari gelodak kecewa
bagai kehijauan daun
bagai kesegaran pohon
di pinggir perjalanan ini?

Dengan apakah akan kaupenuhi
piala remajamu
adakah cuka kesangsian
dari cinta murah
atau madu ajaran
dari ilmu susah?

Remaja amat mahal
sesungguhnya
tiada terbeli oleh perjanjian
harga remaja adalah
pendirian
keberanian dan ilmu.

Penuhilah remajamu
dengan ketentuan tuju.  
                                               .
Rahman Shaari
Langit di Tangan, 1995
Dewan Bahasa dan Pustaka                                               .
                                       
Maksud
Rangkap 1
Pertanyaan tentang harga remaja yang tidak mengalami kekecewaan.

Rangkap 2
Pertanyaan tentang kewajaran remaja menerima kesusahan, iaitu sama ada disebabkan perasaan cinta yang belum masanya atau ilmu yang ditimba selama ini.

Rangkap 3
Remaja amat berharga dan tidak dapat dibandingkan dengan perjanjian dalam percintaan yang belum masanya. Remaja yang baik ialah remaja yang berani dan memiliki ilmu.

Rangkap 4
Remaja hendaklah mengetahui arah tuju kehidupannya.

Tema
Ketinggian nilai remaja yang berilmu

Persoalan
(a) Kekecewaan golongan remaja.
(b) Percintaan remaja semasa usia muda
(c) Berani menempuh pelbagai cabaran dan mencuba sesuatu yang baru.
(d) Keyakinan diri dalam melakukan sesuatu tindakan dan teguh pendirian demi melangkah arah tuju yang diingini.
(e) Menimba ilmu tanpa had sebagai bekalan masa depan yang cemerlang.

Bentuk dan Ciri-Ciri Sajak
(a) Terdiri daripada empat rangkap
(b) Bilangan barisnya tidak sama; rangkap pertama (enam baris) , rangkap kedua (enam baris), rangkap ketiga (enam baris), rangkap keempat (dua baris).
(c) Rima akhirnya bebas/tidak sama; abacad,abcdce,aa


Gaya Bahasa
(a) Simile:
-Bagai kehijauan daun
-Bagai kesegaran pohon
(b) Metafora: cuka kesangsian, madu ajaran
(c) Asonansi: (pengulangan vocal e- Berapakah sebenarnya harga remaja)
(d) Aliterasi: (pengulangan konsonan t- dengan ketentuan tuju)

Nada
Sajak ini bernada didaktik

Nilai
(a) Rajin
(b) Berani
(c) Gigih berusaha
(d) Bijaksana
(e) Bercita-cita tinggi

Pengajaran
(a) Remaja hendaklah menjaga diri agar tidak mengalami kekecewaan.
(b) Elakkan bercinta sewaktu remaja kerana tidak membawa faedah.
(c) Remaja hendaklah menjadi golongan yang mencitai ilmu.
(d) Remaja perlu bersikap berani kerana benar.



UJI MINDA
Berdasarkan sajak "Harga Remaja", jawab soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


(i) Nyatakan harga remaja bagi penyajak yang tidak terbeli oleh perjanjian. [2 markah]


(ii) Penyajak mengharapkan remaja "Penuhi remajamu dengan ketentuan tuju". Pada pendapat anda, apakah hala tuju yang sesuai dicontohi oleh remaja? [3 markah]


(iii) Huraikan tiga nilai murni yang terdapat dalam sajak "Harga Remaja". [3 markah]



(i)                 

Ulasan Cerpen "Ibu dan Ceper"


SINOPSIS
Ceper ialah sebatang sungai yang menjadi sumber air bagi penduduk kampung dan pedalaman. Penulis (Shahnon Ahmad cuba membandingkan Sungai Ceper dengan ibu yang gigih bekerja di sawah, sementara suaminya (bapa penulis) asyik dengan burung ketitir.

 
Kesulitan hidup yang ditempuhi ibunya digambarkan  melalui liku-liku dan keadaan sungai yang semakin tercemar. Kian hari Sungai Ceper semakin lemah dan tohor akibat pelbagai sampah yang dibuang ke dalam sungai.
Pada suatu hari ibu telah terpijak tunggul lama menyebabkan dia tidak selincah seperti dulu. Ibu yang menjadi lumpuh, semakin uzur dan akhirnya meninggal dunia.
Penulis akhirnya membandingkan Sungai Ceper walaupun masih ada namun sudah tidak berfungsi seperti dulu,  iaitu sebagai sumber air kepada penduduk sedangkan ibu sudah meninggal lama sebelum bapa meninggal dunia.

TEMA
Kepentingan air dalam kehidupan.

PERSOALAN
  • Kesukaran hidup apabila sungai tercemar.
  • Setiap yang hidup akan mati.
  • Tanggungjawab anak terhadap kedua-dua orang tuanya.
  • Menghargai anugerah Allah.
WATAK & PERWATAKAN
a. Ibu
  • Seorang yang rajin.
  • Pandai membuat tikar.
  • Bergaul dengan masyarakat.
  • Mengamuk apabila Sungai Ceper tercemar dan berlaku banjir yang akhirnya merosakkan tanamannya.
b. Bapa
  • Suka mendenak burung ketitir.
  • Meninggal dunia kerana terjatuh.
c. Aku
  • Menggantikan ibu ke sawah setelah ibu lumpuh.
  • Bertanggungjawab menjaga ibu.

Khamis, 17 Februari 2011

SUBJEK DAN PREDIKAT


Setiap ayat mesti terdiri daripada konstituen;
SUBJEK
PREDIKAT


a. Subjek
- Subjek ayat biasanya terdiri daripada frasa nama.
- Frasa kerja dan frasa adjektif yang berfungsi sebagai frasa nama juga boleh menjadi
  subjek dalam ayat.
- Frasa nama subjek boleh terdiri daripada kata nama am, kata nama khas, kata nama    
   terbitan, kata ganti nama diri, dan kata ganti nama tunjuk.

i.          Kata nama am sebagai subjek.

SUBJEK
PREDIKAT
Buku itu
amat bermutu.
Pelajar ini
perlu diberi bimbingan.

  ii.         Kata nama khas sebagai subjek.

SUBJEK
PREDIKAT
Abdul Wahab
pegawai yang bijaksana.
Hotel Grand Palace
terletak berhampiran Stadium Negara.

iii.        Kata nama terbitan sebagai subjek.

SUBJEK
PREDIKAT
Masakan Ibu
sedap.
Penderitaan orang itu
mendapat simpati orang ramai
Penderaan
perlu dibanteras.


iv.        Kata ganti nama diri sebagai subjek.
SUBJEK
PREDIKAT
Dia
sedang membaca buku.
Mereka
sudah ke sana kelmarin.


v.         Kata ganti nama tunjuk sebagai subjek.
SUBJEK
PREDIKAT
Itu
rumah bapa saudara saya.
Ini
memeningkan kepala saya.


vi.        Kata kerja yang berfungsi sebagai subjek.

SUBJEK
PREDIKAT
Bersenam
dapat menyihatkan tubuh badan.
Melukis
kegemaran saya.


vii.       Kata adjektif yang berfungsi sebagai subjek.

SUBJEK
PREDIKAT
Merah
lambang keberanian.
Besar
tidak bererti kuat.

Predikat
Predikat ialah bahagian yang menerangkan subjek. Predikat ayat terdiri daripada frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif, dan frasa sendi nama.

  i.          Predikat frasa nama.

SUBJEK
PREDIKAT
Burung
sejenis haiwan.
Buku itu
kepunyaan saya.


ii.         Predikat frasa kerja.
SUBJEK
PREDIKAT
Budak-budak itu
mandi di sungai.
Guru
sedang mengajarkan bahasa Melayu.


iii.        Predikat frasa adjektif.
SUBJEK
PREDIKAT
Rumah nenek
terlalu besar.
Bunga Ros
sungguh wangi.
 
iv.        Predikat frasa sendi nama.
SUBJEK
PREDIKAT
Buku itu
di atas meja.
Bapa
dari pasar.

Sabtu, 12 Februari 2011

Ulasan Hikayat Langlang Buana


Sinopsis Cerita
Inang kepada Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi mengatakan bahawa dia bermimpi pada malam sebelumnya dan tuan puteri juga bermimpi perkara yang sama. Inang mengatakan bahawa itulah tandanya tuan puteri akan mendapat jodohnya. Seperti biasa, tuan puteri mengajak inang-inangnya mandi di tasik yang dijaga oleh peri. Peri itu pula memberitahu perkara itu kepada Raja Indera Bumaya dan menyuruhnya supaya bersembunyi untuk melihat tuan puteri itu dan apabila baginda terpandang akan tuan puteri itu, baginda terus tertarik kepadanya.

Raja Indera Bumaya pun menjadikan dirinya seekor burung bayan yang cantik iaitu matanya dibuat daripada intan dan bulunya daripada pusparagam dan kakinya daripada emas. Tuan puteri tertarik oleh burung bayan itu dan meminta inangda supaya menangkap burung itu. Namun begitu semua dayangnya gagal untuk menangkap burung bayan itu hinggalah dayang-dayang menyarankan supaya tuan puteri sendiri yang menangkapnya. Tuan puteri berasa sangat gembira kerana burung bayan itu terus hinggap pada tangan tuan puteri. Burung bayan itu bukan sahaja cantik, malahan pandai berpantun dan berkata-kata serta boleh menukar dirinya menjadi burung nuri dan bunga yang sudah dikarang. Burung bayan itu sebenarnya datang dari negeri Lela Gambar iaitu dari kawasan matahari naik atau dari Timur lalu dibawa ke mahligai tuan puteri.

Burung bayan yang sebenarnya Raja Indera Bumaya itu telah bertukar menjadi burung nuri dan seterusnya menjadi bunga yang sudah digubah lalu dicium oleh tuan puteri dan Raja Indera Bumayapun mengembalikan dirinya yang asal dan tuan puteri jatuh cinta kepadanya. Tuan puteri menjamu Raja Indera Bumaya dan seterusnya mereka bergembira dan bergurau senda dengan semua dayang. Empat orang menteri dan empat orang hulubalang yang mengawal tuan puteri dari bawah mahligai, menyampaikan berita tentang tuan puteri membawa masuk lelaki ke dalam mahligainya kepada Raja Bahrum Dewa iaitu ayahanda Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi. Perkara itu menyebabkan Raja Bahrum Dewa sangat murka dan menitahkan hulubalang serta rakyat mengepung lelaki itu pada malam itu juga.

Setelah tuan puteri mengetahui berita tentang hulubalang dan rakyat datang ke mahligainya untuk mengepung dan menangkap Raja Indera Bumaya, dia berasa takut dan sedih kerana tidak sanggup berpisah dengannya. Raja Indera Bumaya pun menyeru geliga daripada Raja Johan Shahperi dan keluarlah empat jin yang menyerupai manusia yang lengkap bersenjata untuk menangkis serangan hulubalang dan rakyat Raja Bahrum Dewa. Hulubalang dan rakyat Raja Bahrum Dewa itu gagal untuk menangkap Raja Indera Bumaya. Perkara ini menyebabkan Raja Bahrum Dewa menjadi semakin murka dan menitahkan semua rakyatnya mengepung Raja Indera Bumaya. Perkara itu menyebabkan tuan puteri berasa semakin takut tetapi perkara itu membuktikan cinta dan sayangnya kepada Raja Indera Bumaya. Raja Indera Bumaya kemudiannya menyeru gemala hikmat daripada Raja Johan Shahperi dan keluarlah empat ribu jin yang akan berperang dengan rakyat Raja Bahrum Dewa. Dalam peperangan itu banyaklah darah yang tumpah ke bumi.

Tema
Kasih sayang yang mendalam terhadap orang yang tercinta.

Persoalan
1. Kebijaksanaan dalam memikat orang yang disayangi.
2. Keberanian dalam menempuh rintangan
3. Menghormati tetamu yang datang
4. Ketaatan kepada raja atau ketua
5. Tolong-menolong dalam kehidupan

Watak dan Perwatakan
1. Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi
i. Puteri Raja Bahrum Dewa
ii. Penyayang – sayang kepada Raja Indera Bumaya
iii. Penyedih – menangis kerana takut kepada ayahandanya yang hendak menangkap Raja Indera Bumaya.
iv. Menghormati tetamu – menghormati Raja Indera Bumaya dan melayan baginda dengan baik dan menjamu baginda.

2. Raja Indera Bumaya
i. Putera raja dari negeri Lela Gambar
ii. Boleh bertukar rupa menjadi burung bayan, burung nuri dan bunga.
iii. Bijaksana - bijaksana untuk memikat tuan puteri
iv. Penyayang - sayang akan tuan puteri
v. Memiliki geliga sakti

3. Peri
i. Penjaga tasik tempat tuan puteri mandi.
ii. Suka menolong orang - menyuruh Raja Indera Bumaya bersembunyi untuk melihat tuan puteri.

4. Raja Bahrum Dewa
i. Ayahanda Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi
ii. Garang dan tegas - menitahkan menteri dan rakyatnya menangkap Raja Indera Bumaya yang berada di dalam mahligai tuan puterinya.

5. Inangda
i. Sentiasa menemani tuan puteri
ii. Patuh akan arahan tuan puteri - menurut perintah tuan puteri agar menangkap burung bayan.

Gaya Bahasa

1. Pantun
Gambar di dalam puan,
      Dang Jirat duduk menyuji;
Jika beta khabarkan tuan,
     Tuan nescaya ghairat dalam di hati.

2. Simile – seperti bunga raya yang baharu kembang

3. Bahasa klasik – syahadan, alkisah, perwara, bercetera, berlangir

4. Bahasa istana – baginda, tuan puteri, tuanku, santap

Teknik Plot
1. Pemerian – pemerian tentang Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi dengan dayang-dayang pergi ke kolam untuk mandi.

2. Dialog – dialog antara tuan puteri dengan Raja Indera Bumaya semasa di dalam mahligai tuan puteri

3. Saspens - Raja Indera Bumaya hendak ditangkap oleh menteri dan rakyat Raja Bahrum Dewa.

Latar
Masa
1. Waktu pagi
2. Waktu siang
3. Waktu malam

Tempat
1. Di tasik - Tuan puteri mengajak inang-inangnya mandi di tasik.
2. Di mahligai tuan puteri - Tuan puteri menjamu Raja Indera Bumaya dan seterusnya mereka bergembira dan bergurau senda dengan semua dayang.
3. Di istana Raja Bahrum - Empat orang menteri dan empat orang hulubalang yang mengawal mahligai tuan puteri itu menyampaikan berita tentang Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi membawa masuk lelaki ke dalam mahligainya kepada Raja Bahrum Dewa.
4. Negeri Lela Gambar - Burung bayan datang dari negeri Lela Gambar iaitu dari kawasan matahari naik atau dari Timur.

Masyarakat
1. Masyarakat feudal - susun lapis masyarakat yang terdiri daripada raja, pembesar dan rakyat.
2. Masyarakat peri - masyarakat jin yang menyerupai manusia dan bertugas menjaga tempat mandi tuan puteri
3. Masyarakat manusia yang berani - Raja Indera Bumaya berani menentang semua cabaran dan bahaya untuk mendapatkan Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi.
4. Masyarakat yang penyayang - Inderaputera sayang akan Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi dan begitu juga sebaliknya.

Nilai
1. Kebijaksanaan - Raja Indera Bumaya menggunakan kebijaksanaannya untuk memikat tuan puteri.
2. Kasih sayang - Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi sayang akan Raja Indera Bumaya dan berasa takut sekiranya Raja Indera Bumaya ditangkap.
3. Tolong-menolong - Peri menolong Raja Indera Bumaya dengan memberikan cadangan tentang cara Raja Indera Bumaya hendak melihat Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi.
4. Tegas - Raja Bahrum Dewa menitahkan menteri dan rakyatnya menangkap Raja Indera Bumaya yang berada di dalam mahligai tuan puterinya itu.

Pengajaran
1. Kita haruslah bertindak dengan bijaksana dalam melakukan sebarang tindakan.
2. Kita hendaklah menyayangi orang yang dicintai sampai bila-bila.
3. Kita mestilah menolong orang yang sedang memerlukan pertolongan.
4. Sebagai ketua kita perlulah tegas dengan pendirian atau tindakan.