Jumaat, 11 Mac 2011

Beberapa Kesalahan Tatabahasa Yang Lazim


1. Tidak dapat membezakan antara kata sendi nama di dengan imbuhan di
a) salah - disekolah, dipasar, diJohor, disini, disamping, diutara
- di beri, di ambil, di hantar, di dapati, di anjurkan
b) betul - di sekolah, di pasar, di Johor, di sini, di samping, di utara
- diberi, diambil, dihantar, didapati, dianjurkan

2. Tidak dapat membezakan antara kata sendi nama ke dengan imbuhan ke
a) salah - keMelaka, kepadang, kesana, kehadrat, keselatan
b) betul - ke Melaka, ke padang, ke sana, kehendak, ketua, kekasih

3. Tidak dapat membezakan penggunaan dari dan daripada
a) dari - rumus A (arah), T (tempat), M (masa) = dari
- dari belakang, dari Perak, dari semalam
b) daripada - punca bagi manusia, haiwan, benda, dan unsur mujarad
- sumber atau asal kejadian sesuatu benda
- perbezaan dan perbandingan
- daripada guru besar, daripada getah, daripada markah

4. Mengulang kata selepas penanda jamak (banyak)
a) salah - semua guru-guru, segala alat-alat, kebanyakan ahli-ahli
b) betul - semua guru, segala alat, kebanyakan ahli

5. Tidak menggandakan kata bilangan himpunan
a) salah - beratus orang, beribu penonton, berguni padi
b) betul - beratus-ratus orang, beribu-ribu orang, berguni-guni padi

6. Kesalahan penggunaan kata darjah penghabisan
a) salah - paling tinggi sekali, terlalu mahal sekali
b) betul - paling tinggi, tinggi sekali, terlalu mahal, mahal sekali

7. Menggandakan kata selepas saling
a) salah - saling hormat-menghormati, saling bermaaf-maafan
b) betul - saling menghormati, hormat-menghormati, saling bermaafan

8. Pembentukan ayat pasif
a) Surat itu telah dihantar oleh kami. (salah)
Surat itu telah kami hantar. (betul)
b) Laporan itu perlu disiapkan oleh anda. (salah)
Laporan itu perlu anda siapkan. (betul)
c) Majalah itu telah mereka edarkan. (salah)
Majalah itu telah diedarkan oleh mereka. (betul)

9. Penggunaan –kan menggantikan akan
a) salah - sayangkan, rindukan, bencikan, cintakan
b) betul - sayang akan, rindu akan, benci akan, cinta akan

10. Menjarakkan imbuhan pinjaman
a) salah - juru taip, ko kurikulum, pasca moden, anti dadah
b) betul - jurutaip, kokurikulum, pascamoden, antidadah

Kesalahan Ejaan dan Imbuhan


Kesalahan Ejaan

Sepatutnya
Kesalahan Imbuhan
Sepatutnya
gulongan
golongan
perbuatan itu menyalahkan undang-undang.

perbuatan itu menyalahi undang-undang.

kretif
kreatif
…supaya pembaca mendidik dan lahir sebagai insan yang mulia.
…supaya pembaca terdidik dan lahir sebagai insan yang mulia.
spisies
spesies
..kepupusan pelbagai spisies haiwan, dan pemusnahan hutan.
…kepupusan pelbagai spesies haiwan, dan kemusnahan hutan.
Penduduk di kawasan pendalaman
Penduduk di kawasan pedalaman


erial
aerial


…masalah yang dihadap oleh mereka.
…masalah yang dihadapi    oleh mereka.
antenna
antena


Penambahan kenderaan berenjin…
Pertambahan kenderaan berenjin…
losyen
losen

…melembuti kulit
…melembutkan kulit
lanskap
landskap
…berbuat pelbagai urusan…
…membuat pelbagai urusan…
displin
disiplin
menyintai
mencintai

Rabu, 9 Mac 2011

Isu Novel Interlok


KENYATAAN AKHBAR SASTERAWAN NEGARA TENTANG KES INTERLOK 
      Sudah banyak perbincangan dan debat yang telah diadakan tentang buku   Interlok oleh Abdullah Hussein - di akhbar, majalah, di tv dan dunia siber.  Dalam wacana ini  ada yang jernih di samping banyak juga yang keruh pada sungai perbincangannya. Akan tetapi yang agak dikesalkan ialah hakikat bahawa sangat sedikit golongan, terutama partai politik yang menjadikan pembelaan nasib dan martabat kaum Melayu sebagai landasannya, tampil memberi sokongan moral kepada seorang pengarang Melayu bernama Abdullah Hussein, yang melalui Interlok berbicara tentang kemanusiaan yang merentas sempadan ras dan etnik di tanah airnya.
Kami, Sasterawan Negara Malaysia, ingin menegaskan  bahawa sebuah teks sastera bukanlah sebuah teks politik, dan bukan juga teks sejarah atau geografi. Sebuah karya sastera ialah sebuah teks  yang melukis jiwa manusia, perasaannya, nilai dan kepentingannya dalam konteks zaman dan sejarahnya. Yang dilukis didekatkan sehampir mungkin kepada kenyataan di dalam dan di luar diri manusia, kerana karya sastera tidak tercipta daripada kekosongan atau vakum. Peristiwa di luar - peperangan dan kedamaian, kesusahan dan kesenangan, kerusuhan dan  ketenangan - dilukis oleh kata-kata dan peribadi pengarang. Ini telah dilakukan sejak beribu tahun oleh semua pengarang, di semua negara.
      Sastera bukan dokumen rasmi pemerintah, atau maklumat yang dirapikan serta dicantikkan untuk disebarkan. Sastera ialah lukisan kehidupan, dan kehidupan tidak selalu rapi dan cantik. Inilah bahan sastera, dan untuk berlaku adil kepada bahan ini sastera melukis dengan warna berbagai-bagai - ada yang  merah, kuning, kelabu dan hitam. Itulah warna kehidupan yang lebih banyak jalurnya. Malah pengarang-pengarang dari benua kecil India, telah turut menyentuh isu dalam Interlok yang oleh segelintir orang di sini disensasikan, kerana sistem sosial masyarakatnya telah dinormakan dalam perjalanan panjang peradabannya. 
       Berlainan dengan dokumen rasmi, sastera menderetkan berbagai-bagai jenis , manusia – seperti yang dilihat pengarang dalam ruang kehidupannya -  daripada wira hinggalah penjenayah,  daripada ketua hinggalah pengikut buta, daripada ulama hinggalah orang berdosa, dan dari berbagai-bagai bangsa dan kaum. Mereka semua kita temui dalam deretan kehidupan  harian. Sastera ialah ucapan dan ingatan bangsa, kerana yang terlukis di dalamnya ialah pemerian tentang bangsa itu.
Kami berpendapat bahawa sastera ada ruangnya sendiri dengan keseniannya yang khusus pula. Kita harus membaca sastera sebagai sastera, dan bukan buku sejarah atau politik. Membaca sastera ialah suatu proses berfikir, merasa dan menghayati bahasa, peristiwa dan gagasan. Proses ini penting untuk diri manusia sendiri kerana yang ditawarkan ialah berbagai-bagai jenis pengalaman buat pembacanya - dari yang lahiriah sampailah kepada sikap dan pendiriannya. Semuanya dianggap sebagai cermin dan bayang makna kehidupan manusia.
        Ramai daripada kita yang merasakan pelajar kita kurang mampu untuk menilai apa yang mereka baca.  Pada tahun 2011, dengan gunung maklumat  di internet dan dunia cetakan, kami maklum bahawa  mereka sudah lama dituntut dan dilatih  untuk mempertimbangkan,  memilih dan membuat kesimpulan sendiri. Sesuatu fakta yang diubah dan dimetaforakan secara halus sekalipun di dalam karya sastera dan kenyataan dengan wajah sebenar akan tetap muncul dalam pelbagai medium yang lain.
Interlok ialah sebuah novel yang melukis suatu deretan waktu, watak dan latar dari 1910 hinggalah sebelum Merdeka. Tujuan penulis cukup mulia, iaitu melukis gambaran  kaum-kaum yang terdapat di negara ini, dengan masalah dalamannya sendiri, dan di akhirnya telah bersatu untuk menerima negara dan harapan baru. Inilah tujuan pengarang. Manusia yang dilukiskan juga cukup mulia, terutama Maniam, yang  besar hati dan jiwanya, dan masih ingin membantu orang lain, walau pun dia pernah dimangsakan. 
       Kami tidak melihat masalah pada istilah dan lukisan yang digambarkan oleh pengarang. Kami juga tidak mengesan tujuan untuk menghina mana-mana kaum. Akhiran karya ini menawarkan harapan dan kecerahan. Itulah tujuan terpenting pengarang.
        Kami merasa sangat prihatin sekiranya pengarang terus didesak untuk merubah karya mereka sehingga gagasan awal mereka sudah dicairkan. Dan sekiranya perubahan pada lukisan satu kaum hanya dibuat, dan tidak pada kaum yang lain, maka  akhirnya terdapat suatu lukisan yang tidak lagi berimbang dan benar – hanya cantik pada suatu kaum dan comot pada yang lainnya. 
Benarkanlah penulis kita melukis kenyataan Malaysia, walau betapa pun tidak manis kenyataan itu. Kerana mereka juga berfikir bagi pihak kita, dengan  sudut  pandangan mereka sendiri, yang walau pun berlainan,  masih diperlukan di negara yang demokratis,   yang memberi kebebasan kepada sasterawannya untuk menulis, berfikir dan berpendirian.
         Marilah kita, rakyat Malaysia, membaca sastera dari pendekatan sastera dan menghormatinya secara wajar dan pintar, supaya darinya dapat kita kutip pemikiran dan kearifan sasterawan  kita.
SN Muhammad Haji Salleh
SN Anwar Ridhwan
SN Shahnon Ahmad
SN Noordin Hassan
Kuala Lumpur,
8 Mac 2011
3 Rabiul Akhir 1432H
  Dikemaskini pada 9 Mar 2011 oleh DBP

Sumber DBP

Selasa, 8 Mac 2011

Kata Seru


Kata seru ialah kata yang digunakan untuk menggambarkan perasaan seseorang seperti marah, sedih, gembira, sakit, hairan, kagum, terkejut, dan sebagainya. Cara penggunaannya disesuaikan dengan intonasi pengucapan iaitu dengan nada meninggi atau menurun. Dalam bahasa Melayu, kata seru digunakan untuk membentuk ayat seru.
Perhatikan penerangan di bawah:
Kata Seru

Penerangan
Ayat Contoh
Aduh
(a)Menyatakan perasaan sakit
(b)Menyatakan perasaan kagum/hairan
1. Aduh, sakitnya tanganku!
2. Aduh, indah sekali pemandangan di sini!

Aduhai
Digunakan untuk menyatakan perasaan sedih/dukacita
1. Aduhai, malang sekali nasib peminta sedekah itu!
2. Aduhai, apalah malang nasibku ini!

Ah
Digunakan untuk menyatakan perasaan penolakan/tidak bersetuju/membantah
1. Ah, aku tidak bersetuju!
2. Ah, aku tiada masa untuk melayan engkau!

Amboi
Digunakan untuk menyatakan perasaan kagum/hairan
1. Amboi, sombongnya dia!
2. Amboi, hebat sekali engkau beraksi!


Cis/cih
Digunakan untuk
(a) Menyatakan perasaan marah
(b) Menyatakan perasaan mengejek/menyindir
1. Cis, kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga!
2. Cih, harimau di hutan lagi dapat kujinakkan, inikan pula cicak mengkarung!

Eh
Digunakan untuk menyatakan perasaan hairan/terkejut
1. Eh, bilakah kau pulang ke tanah air!
2. Eh, Salim pun ada di sini!
Hai
(a) Menyatakan perasaan hendak menegur atau menyapa seseorang
(b) Cuba menarik perhatian
1. Hai, nama saya Patsy!
2. Hai, lihat anak kecil di hujung sana itu!

Nah
Digunakan untuk menarik perhatian dan pelbagai maksud lain
1. Nah, ambillah pemberikanku ini!
2. Nah, serahkan saja perkara ini kepada mereka!

Wah
Digunakan untuk menyatakan perasaan kagum/takjub
1. Wah, tinggi sungguh cita-citamu!
2. Wah, mulia sekali hatimu!

Wahai





(a) Menyatakan perasaan dukacita
(b) Mendapatkan perhatian
1. Wahai kawan-kawanku, marilah kita bersatu padu!
2. Wahai anak-anak bangsaku, janganlah leka dengan kemewahan dunia!

Jenis-Jenis Perenggan Isi

1) PERENGGAN JENIS DEDUKTIF
2) PERENGGAN JENIS INDUKTIF
3) PERENGGAN JENIS DEDUKTIF+INDUKTIF



Contoh Perenggan Deduktif 

Dalam usaha melahirkan masyarakat yang menyayangi tanah air, generasi kini perlu mengambil inisiatif untuk menganjurkan program-program dan pelbagai kempen yang bertemakan nilai patritisme agar generasi muda dapat mengenali negara Malaysia dengan lebih mendalam.


Isi
Mereka mesti menyokong apa-apa aktiviti malah giat menyertai program dan kempen yang dianjurkan oleh kerajaan pada peringkat kebangsaan.

Huraian
Sebagai contoh,kempen Gerakan Cintailah Tanah Air yang dirasmikan oleh mantan Perdana Menteri , Tun Dr.Mahathir Mohamad pada 29 Disember 1998.

Contoh



Contoh Perenggan Induktif

Ambang 2011, kita telah dikejutkan dengan statistik 5 kes pembuangan bayi dilaporkan di negara kita.


 Contoh
Bayangkan betapa tergamaknya seorang ibu membuang bayi tanpa sedetik pun rasa peri kemanusiaan. Sedangkan binatang menyayangi anaknya, apatah lagi kita manusia. Tepatlah ungkapan yang berbunyi “dalam masyarakat haiwan, tiada manusia, tetapi dalam masyarakat manusia, banyak haiwan berkeliaran”

      Huraian
Hakikatnya, ketandusan nilai kasih sayang dalam jiwa insani merupakan faktor dominan yang menyumbang kepada jenayah pembuangan bayi ini.
          Isi
      (kesimpulan)


Contoh Perenggan Gabungan Deduktif + Induktif

Banyak faktor yang dapat mempengaruhi kecemerlangan.Antaranya termasuklah matlamat dan jati diri yang tinggi. Andainya faktor tersebut gagal dikelolakan dalam kehidupan seseorang, maka sudah pastilah kehidupan akan terumbang-ambing.


Isi
Oleh yang demikian, untuk memastikan kejayaan menjadi kenyataan, pegangan hidup harus disematkan di lubuk hati.

Huraian

Ibnu Qaiyum Al-Jauzy iaitu ulama Islam tersohor pernah menyatakan bahawa ujian terbesar terhadap seseorang terletak pada matlamat dan cita-cita yang tinggi.

Contoh
Hakikat ini jelas menunjukkan bahawa kejayaan terletak pada matlamat hidup seseorang.Jika seseorang itu berjaya mencapai matlamatnya tanpa menggugat jati dirinya, maka sudah pastilah dia akan berjaya dalam kehidupannya.

 Kesimpulan

Khamis, 3 Mac 2011

Kepentingan Pemuliharaan Bangunan-Bangunan Bersejarah di Malaysia.


TOPIK/TEMA: PELESTARIAN / PEMULIHARAAN BANGUNAN BERSEJARAH
FOKUS:  SEBAB / KEPENTINGAN / KEMASLAHATAN

 [Ayat Rangsangan] Tidak dapat dinafikan, warisan negara yang telah diabaikan dewasa ini ialah bangunan bersejarah yang banyak terdapat di seantero negara. [Ayat Huraian] Jika ditinjau secara umum, kebanyakan bangunan bersejarah yang dipulihara akan disuaigunakan semula sebagai muzium, pejabat, tempat kediaman, premis perniagaan, dan kegunaan awam. [Ayat Huraian]Sejak UNESCO mengiktirafkan bandar Melaka dan Geogetown sebagai bandar warisan bersejarah, baru timbullah kesedaran tentang kepentingan bangunan-bangunan bersejarah. [Ayat Arahan] Persoalannya, apakah kepentingan pemuliharaan bangunan-bangunan bersejarah dalam konteks Malaysia?

[Ayat Judul]Bangunan-bangunan bersejarah memang mempunyai nilai sejarah yang tidak ternilai. [Ayat Huraian]Melalui darmawisata ke tempat-tempat bersejarah, generasi muda dapat menghayati fakta-fakta sejarah yang dipelajari dalam buku teks Sejarah. [Ayat Contoh]Misalnya, pembinaan kota A Famosa (bermaksud “Yang Termasyhur” dalam bahasa Portugis) atas arahan Alfonso de Albuquerque boleh dikatakan menjadi lambang penentangan penduduk Melaka terhadap penjajah. [Ayat Penyimpul] Dengan erti kata lain, fakta-fakta sejarah ini dapat memupuk nilai patriotisme dalam kalangan generasi muda kita.

[Ayat Judul]Selain nilai sejarah, bangunan-bangunan bersejarah memaparkan seni bina awal yang begitu unik. [Ayat Huraian]Selain rumah kediaman, seni bina Melayu turut dizahirkan ke atas binaan-binaan lain seperti masjid, istana raja-raja, rumah wakaf, dan seni bina makam atau pusara. [Ayat Contoh]Ciri-ciri seni bina tradisional Melayu dapat dilihat pada bangunan-bangunan lama yang masih kekal ibarat tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas seperti Istana Kenangan di Perak, Istana Balai Besar di Kelantan, Masjid Tengkera di Melaka, dan sebagainya. [Ayat Penyimpul] Pendek kata, seni bina Melayu yang indah ini bukan sahaja unik malahan memberikan nilai estetika yang begitu tinggi dan seharusnya dipelihara untuk pengekalan atau pelestarian identiti bangsa.

[Ayat Judul]Tidak ketinggalan juga, bangunan bersejarah dapat menyumbang kepada kerancakan industri pelancongan negara kita. [Ayat Huraian]Hal ini demikian kerana bangunan-bangunan bersejarah yang mempunyai nilai sejarah dan seni bina yang unik dapat menjadi tarikan pelancong. [Ayat Contoh]Tamsilnya, para pelancong yang berpendidikan akan terpesona oleh zaman kegemilangan bandar pelabuhan Melaka pada abad ke-15 dan ke-16 apabila melihat Pintu Gerbang Porta de Santiago, Gereja Christ, Bangunan Stadhuys dan Gereja St. Paul. [Ayat Penyimpul]Pendek kata, bangunan dan monumen ini secara tidak langsung dapat membantu industri pelancongan negara.

[Ayat Kesimpulan]Secara tuntas, pemuliharaan dan pelestarian bangunan bersejarah amat penting dalam penghayatan warisan dan khazanah negara. [Ayat Cadangan]Bangunan dan monumen yang bersejarah merupakan aset yang patut dipelihara dan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi. [Ayat Penilaian]Dengan terdapatnya bangunan bersejarah, generasi baharu akan lebih menghargai dan peka akan perkembangan sejarah negara. [Ayat Penilaian]Akhir kata, adalah tidak rasional jika bangunan-bangunan bersejarah ‘dikorbankan’ demi memberikan laluan kepada pembangunan negara. Hidup warisan Malaysia, hidup bangsa Malaysia!

Sumber: Munsyi Bahasa

Selasa, 1 Mac 2011

Tahukah anda?


HAKIKAT SESEBUAH CERPEN
7 unsur penting dalam sesebuah cerpen :
  1. Tema
  2. Plot
  3. Watak
  4. Latar
  5. Sudut pandangan
  6. Gaya
  7. Suasana cerita
MENILAI SESEBUAH CERPEN
Ø  Adakah tema atau persoalan penting dalam cerpen itu atau ia sekadar coretan peristiwa?
Ø  Adakah sudut pandangannya konsisten, tetap dan tidak bercampur-aduk?
Ø  Adakah wataknya berkembang dengan wajar?
Ø  Adakah dialog wataknya semula jadi dan sesuai?
Ø  Bagaimana permulaan atau eksposisi cerpen itu?  Cepat? Lambat? Tepat? Membosankan?
Ø  Plotnya, bagaimana? Padat, longgar, ada konfliknya dan ada klimaksnya?
Ø  Bagaimana peleraian atau penamat ceritanya? Tergesa-gesa? Menarik? Dipaksakan?
Ø  Bagaimana dengan judul cerpen? Tepat? Menarik? Jangan tidak sahaja?
Ø  Bagaimana dengan diksi? Tepat? Ayatnya, bagaimana? Paragraf?
Ø  Bahasa? Gaya bahasanya? Gaya bahasa pengarang sendiri? Klise? Baharu dan segar?
Ø  Bagaimana dengan tanda baca? 

PENULISAN LAPORAN
Maklumat tentang sesuatu peristiwa atau kegiatan yang penting  yang berlaku  sepanjang tahun yang berkenaan yang dilaporkan  dalam bentuk bertulis. Dalam majalah sekolah, laporan-laporan  yang berikut adalah lazim :
  1. Laporan prestasi akademik pelajar
  2. Laporan bilik guru
  3. Laporan badan pengawas
  4. Laporan kelas
  5. Laporan kelab mahupun persatuan
  6. Laporan ko-kurikulum
LAPORAN YANG BERKESAN
Gaya dan cara penyampaian laporan
¨       Bahasa yang mudah dan sederhana.
¨       Penggunaan gambar, ilustrasi atau carta.
¨       Bahasa dan gaya bahasa yang tepat, adil, jelas,teratur, lancar dan santun. 

PUISI YANG BAIK
—  Tema  ( sense)
—  Rasa (feeling)
—  Nada (tone)
—  Amanat atau maksud (intention)

MENILAI DAN MENGHAYATI PUISI
  1. Apakah makna atau tema puisi itu?
  2. Bagaimanakah rasa yang dikandungnya?
  3. Bagaimanakah nada puisi itu?
  4. Apakah amanat atau maksud dalam puisi itu?
  5. Bagaimanakah keharmonian antara keempat-empat puisi itu?
  6. Bagaimana diksi puisi itu?
  7. Sesuaikah kata-kata konkrit dalam puisi itu?
  8. Adakah tepat penggunaan majaz dalam puisi tersebut?
  9. Bagaimana skema rimanya?
  10. Bagaimanakah hubungan antara hakikat dan kaedah puisi itu?