Bahasa Melayu SPM

Memaparkan catatan dengan label KOMSAS TINGKATAN 4. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label KOMSAS TINGKATAN 4. Papar semua catatan

Khamis, 28 April 2011

Memori Seorang Tua

Sinopsis
Pak Itam digambarkan seorang sebagai pejuang yang cekal. Dia telah beberapa kali keluar masuk penjara kerana penentangannya terhadap Inggeris. Beliau berhasrat untuk mengadakan majlis sambutan hari jadinya yang ke-85. Beliau turut bercadang untuk menjemput wartawan, mahasiswa universiti serta para penduduk Langat ke majlis berkenan bagi berkongsi kisah perjuangannya. Ketika Pak Itam membaca majalah Mastika lama, beliau tersentuh akan paparan Siti Nurhidayah yang menuntut fasakh ketika beliau ditahan di penjara Singapura. Itulah kali terakhir beliau menatap wajah dua orang anaknya, Izwan dan Nuryani Iman.
Tuk Mat merupakan orang yang banyak membantu Pak Itam menguruskan segala persiapan untuk majlis itu dan turut dibantu beberapa orang pemuda kampung seperti Isa, Latif dan Jali. Pada hari yng ditetapkan, Pak Itam lengkap berbaju Melayu menyambut tetamu. Orang kampung memenuhi tempat berlangsungnya majlis tersebut, namun Pak Itam kecewa kerana tetamu dari jauh masih belum sampai. Tambah mengecewakan Pak Itam kerana wartawan akhbar dan televisyen tidak muncul.Pak Itam merasakan segala pengorbanannya selama ini telah dilupakan.
Apabila tiba waktu Zuhur, Pak Itam masuk untuk menunaikan solat. Kaih yang cemas cuba memberitahu perkara yang berlaku kepada Pak Itam. Apabila Tuk Mat mendekati Pak Itam yang terbaring di sejadah, beliau dilihat sudah meninggal dunia. Tetamu yang hadir membacakan surah Yasin untuk jenazah. Pada ketika itu, datang seorang perempuan tua mendekati jenazah membawa sejambak ros. Tatkala orang ramai tercengang memikirkan identiti perempuan tersebut, Tuk Mat menyapu air matanya dan menganggap hajat Pak Itam untuk bertemu isterinya, Siti Nurhidayah telah tercapai.
Tema
Semangat patriotik, iaitu tentang keinginan seorang tokoh yang ingin berkongsi memori lampaunya dengan masyarakat.
Pak Itam ingin berkongsi perjuangan yang telah dilaluinya dengan anak cucunya dalam usaha beliau membebaskan negara ini daripada penjajahan.
Persoalan
1. Persoalan kesediaan menghadapi cabaran.
Pak Itam terpaksa menempuh halangan dalam perjuangannya, iaitu terpaksa keluar masuk penjara kerana perjuangannya bertentangan dengan dasar pemerintahan pada masa itu.
2. Persoalan rasa tanggungjawab terhadap nasib yang akan dialami oleh anak bangsa.
Atas dasar tanggungjawab, Pak Itam berjuang untuk bangsa Melayu kerana dia ingin melihat bangsanya mendapat pendidikan yang tinggi serta tidak menjadi hamba di negara sendiri.
3. Persoalan jati diri yang teguh.
Pak Itam mempunyai jati diri dan pendirian yang teguh dari usia muda sehingga usianya mencecah 85 tahun.
Plot
Binaan Plot
(i) Permulaan
Mengisahkan kehidupan zaman muda Pak Itam yang sering keluar masuk penjara kerana menentang penjajah. Perjuangan untuk memartabatkan orang Melayu amat menebal dalam jiwa Pak Itam.
(ii) Perkembangan
Pak Itam melahirkan hasrat beliau untuk mengadakan majlis sambutan hari jadinya yang ke-85 tahun. Sambutan yang julung kali diadakan ini turut bertujuan untuk berkongsi pengalamannya sebagai seorang pejuang. Pak Itam juga turut menyatakan harapannya untuk melihat anak bangsanya hidup dengan sempurna dan bebas daripada sebarang bentuk penjajahan. Tetamu yang hadir pada sambutan majlis hari jadinya agak kurang dan ini menjadikan Pak Itam berasa sedih dan beranggapan bahawa pengorbanannya selama ini kian dilupakan.
(iii) Klimaks
Pak Itam menghembuskan nafas terakhirnya di atas sejadah. Orang ramai yang hadir membaca surah Yasin untuknya.
(iv) Peleraian
Kehadiran seorang wanita yang sudah berumur pada hari kematiannya membawa sejambak ros merah menjadikan penduduk kampung tertanya-tanya. Hanya Tuk Mat mengerti dan berfikir dalam hatinya, hajat Pak Itam kesampaian juga.
Teknik Penceritaan
1. Pemerian
Pak Itam toleh kiri kanan. Pokok pisang, pokok lengkuas, serai, betik dan rumput-rampai
sekitar rumahnya mengangguk perlahan ditiup angin pagi. Nyaman benar hidup di perkampungan, tetapi…
2. Dialog
“Dah kaujemput budak-budak suratkhabar?” tanya Pak Itam.
“Sudah!” jawab Tuk Mat.
3. Imbas Kembali
Tiba-tiba hatinya dipintali kesayuan. Di mana Siti Nurhidayah? Di mana Izwan dimana Nuryani Iman? Sudah berpuluh tahun berpisah.
4. Monolog dalaman
Pak Itam sudah berfikir-fikir, budak-budak surat khabar sudah tentu akan mengerumuninya, menghulur berbelas, mungkin berpuluh kaset perakam suara mahu menemuramahnya.
Watak dan Perwatakan
Watak Utama
Pak Itam
1. Berasal dari Kuala Semantan, Pahang.
2. Berumur 85 tahun.
3. Mempunyai isteri iaitu, Siti Nurhidayah dan dua orang anak, iaitu Izwan dan Nuryani Iman yang terpisah sejak isterinya meminta fasakh ketika dia di penjara.
4. Mempunyai seorang anak angkat bernama Sidah.
5. Suka membaca. -, Pak Itam suka membaca akhbar dan majalah di kerusi malas di kaki lima rumahnya.
6. Seorang nasionalis tulen. - Pak Itam berjuang bukan untuk kepentingan diri sendiri tetapi untuk bangsanya.
7. Seorang yang taat akan perintah agama.- Pak Itam sentiasa beribadat dan menggunakan waktu malam untuk mendekatkan diri kepada tuhan.
8. Baik hati - Pak Itam bersedia melayan tetamu yang datang untuk bertemu dengannya di rumah.
Watak Sampingan
Tuk Mat
1. Bekas anggota polis.
2. Jiran Pak Itam.
3. Bertubuh sasa, kulit dan batang lengannya masih pejal dan kemas.
4. Rajin. - beliau banyak membantu Pak Itam dalam usaha mengadakan sambutan hari lahirnya.
5. Boleh diharapkan dan berdisiplin -, hal ini diakui oleh Pak Itam apabila membandingkan sifat anak-anak muda seperti Isa dan Latif dengan watak Tuk Mat.
Siti Nurhidayah
1. Bekas isteri Pak Itam yang menuntut fasakh ketika Pak Itam berada di dalam penjara.
2. Sempat hadir pada hari kematian Pak Itam.
3. Mempunyai dua orang anak, iaitu Izwan dan Nuryani Iman.
Latar
Latar Masa
1. Sehari sebelum hari lahir Pak Itam yang ke-85 tahun- Tuk Mat dan penduduk kampung sibuk menguruskan persiapan untuk majlis kenduri sempena hari jadi Pak Itam.
2. Sebelum Zuhur - Pak Itam masih menanti. Dia amat kecewa. Tuk Mat menyuruhnya berehat.
3. Selepas Zuhur - Kiah menjerit memberitahu Tuk Mat bahawa Pak Itam sakit. Pak Itam meninggal dunia dan bacaan Yasin diadakan.
Latar Tempat
1. Kediaman Pak Itam dan halaman rumahnya- tempat majlis kenduri sempena hari jadi Pak Itam dan pameran diadakan .
2. Di kaki lima rumah Pak Itam - tempat Pak Itam duduk sambil membaca akhbar dan majalah seharian di atas kerusi malas.
3. Kampung Pak Itam di Hulu Langat- perkampungan yang nyaman tetapi mula tercemar apabila dua buah kilang dari Korea dan Jepun mula beroperasi.
4. Penjara di Singapura - Siti Nurhidayah, isteri Pak Itam datang bersama dua orang anaknya membawa surat kadi meminta fasakh ketika Pak Itam meringkuk di situ.
Latar Masyarakat
1. Masyarakat pejuang yang mencintai bangsa dan negara.
Pak Itam sanggup keluar masuk penjara kerana menentang Inggeris demi sayang akan bangsa dan negara.
2. Masyarakat penulis dan wartawan.
Pak Itam mewakili golongan masyarakat yang menentang penjajah menggunakan mata pena.
3. Masyarakat kampung yang masih mengamalkan amalan gotong royong serta bekerjasama.
Tuk Mat dan beberapa orang pemuda kampung yang membantu Pak Itam mengadakan majlis sambutan hari jadi Pak Itam secara besar-besaran.

Gaya Bahasa
1. Simile - …kian mengecil seperti sebiji debu
2. Peribahasa - seperti enau di belukar
3. Metafora -tangisan ketakwaan
4. Penggunaan Bahasa Inggeris - vision, Happy Birthday To You
5. Personifikasi - Pungguk di belakang rumah terus merintih, merindu bulan…
Nilai
1. Nilai pengorbanan.
Pak Itam sanggup menolak jawatan sebagai majistret demi cinta akan bangsa dan negara.
2. Nilai cinta akan negara.
Pak Itam berjuang untuk membebaskan anak bangsanya daripada dibelenggu kemiskinan dan mahu melihat anak bangsanya mendapat pendidikan tinggi.
3. Nilai bekerjasama.
Semua penduduk kampung tidak kira muda atau tua berganding bahu menjayakan persiapan majlis sambutan hari jadi Pak Itam.
Pengajaran
1. Kita hendaklah cinta akan bangsa dan negara agar tidak dijajah oleh bangsa lain.
2. Kita wajarlah saling membantu dalam setiap usaha agar pekerjaan menjadi mudah.
3. Kita hendaklah sentiasa mentaati perintah tuhan dengan meningkatkan amal ibadah agar mendapat kesenangan di kemudian hari.
4. Kita haruslah mengenang jasa tokoh yang banyak berkorban untuk bangsa dan negara walaupun masa berubah.

Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum

Mellisa


Sinopsis

Mellisa, seorang gadis Cina, berasa menyesal kerana mengikut ajakan Farid ke pejabat surat khabar yang menyebabkan dia berkenalan dengan Syahid. Peristiwa itu telah membuatkan dia teringat akan Hisyam. Wajah Syahid menyerupai wajah Hisyam iaitu kawannya sewaktu kecil dahulu. Mellisa terkenang akan kemesraannya bersama-sama dengan Hisyam. Mereka selalu bermain bersama-sama dan Hisyam pernah menyatakan hasratnya untuk berkahwin dengan Mellisa apabila mereka sudah besar nanti. Malangnya Hisyam telah terkorban dalam peristiwa 13 Mei. Peristiwa hitam itu sukar luput daripada ingatan Mellisa. Justeru, dia memilih peristiwa 13 Mei sebagai latihan ilmiah untuk sarjana muda dalam bidang Sejarah.

Mellisa jatuh hati kepada Syahid kerana keberaniannya dan hubungan mereka semakin rapat. Namun, keakraban Mellisa dan Syahid tidak lama kerana Mellisa meninggalkan Syahid. Dia mengambil keputusan itu kerana tugas dan tanggungjawabnya kepada tanah air. Dia amat cinta akan negaranya dan memilih untuk mengetepikan perasaan hatinya. Dia menjadi anggota tentera kerana tidak mahu peristiwa 13 Mei berulang lagi.

Tema

Percintaan antara dua insan yang berbeza budaya.
Mellisa seorang gadis berketurunan Cina, pernah menyulam kasih semasa zaman kanak-kanaknya dengan budak keturunan Minang namun kecundang kerana kematian menjemput Hisyam akibat rusuhan 13 Mei. Setelah dewasa, Mellisa jatuh cinta dengan Syahid yang juga pemuda Melayu dan seiras Hisyam namun akhirnya terpaksa meninggalkan Syahid tanpa berita kerana telah dipanggil bertugas sebagai tentera.

Persoalan

1. Persoalan pengorbanan demi cinta akan negara.
Mellisa sanggup mengorbankan keperluan dirinya dengan meninggalkan orang yang dicintai untuk menyahut panggilan mempertahankan negara.

2. Persoalan persengketaan antara kaum
Hasyim dan ibunya telah menjadi mangsa rusuhan kaum pada 13 Mei di Jalan Petaling semasa dalam perjalanan pulang dari rumah keluarganya di hadapan Stadium Negara.

3. Persoalan kesedaran terhadap sejarah negara.
Mellisa yang pernah melalui zaman 13 Mei mengkaji sejarah peristiwa itu melalui tesisnya hingga menimbulkan rasa tanggung jawab kepada negara dan tanah air.

Plot

Binaan Plot

1. Permulaan

Mellisa atau Mei terperanjat melihat Syahid yang persis Hisyam kekasih zaman kanak-kanaknya setelah diperkenalkan oleh Farid di pejabat surat khabar. Bagi Mei, Hisyam seolah-olah wujud dalam diri jejaka itu menyebabkan mereka mudah mesra dan akhirnya Mei menerima pelawaan Syahid untuk makan tengah hari. Mei seolah-olah telah jatuh cinta pandang pertama kepada Syahid.

2. Perkembangan

Mei teringat akan Hisyam, hero masa kecilnya yang selalu bermain dan menjaga keselamatannya. Hisyam juga sering menyatakan hasratnya akan mengahwini Mei apabila dewasa kelak. Kematian Hisyam dalam rusuhan kaum 13 Mei cukup berbekas dalam dirinya menyebabkan dia sering dihantui pertanyaan demi pertanyaan tentang punca peristiwa tersebut boleh meletus dalam kehidupan masyarakatnya. Akhirnya,
persoalan tersebut mendapat penjelasan apabila Mei menjalankan latihan ilmiah untuk ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sejarah. Hubungan kilatnya dengan Syahid semakin akrab.

3. Klimaks

Mei mendapat panggilan menjadi tentera setelah selesai menghabiskan pengajiannya dalam bidang Sejarah. Keputusan Mei meninggalkan Syahid untuk mencapai impiannya membuahkan perasaan marah dalam diri Syahid kerana Syahid berasa seolah-olah dipermain-mainkan oleh Mei.

4. Peleraian.

Akhirnya gadis keturunan Cina ini melupakan keperluan dan angan-angannya untuk menjadi kekasih yang baik dan isteri yang taat demi ingin melihat negara dan rakyatnya hidup dengan aman damai dan harmoni sebagai satu bangsa yang merdeka. Yang penting sekali agar peristiwa 13 Mei itu tidak akan berulang lagi.

Teknik penceritaan

1. Imbas kembali
“Mei, Mei!” kata Hisyam.“Apabila aku sudah bekerja nanti kita kahwin.Mak aku pasti suka. Aku akan ajar kau agama Islam.”
Dia tersenyum. Terhibur dengan ingatannya masa kecil-kecil dahulu.

2. Teknik Pemeriaan
Dalam kesibukan dan kebisingan bunyi mesin tulis dan komputer bercampur baur dengan deringan telefon dan suara manusia, seorang lelaki berjalan ke arahnya yang sedang berdiri di samping Farid.

3. Teknik Monolog Dalaman
Aku tidak pernah bertemu dengan orang ini sebelum ini, bawah sedarnya berbisik.

4. Teknik Dialog
“Siapa?”
“Mei! Ada telefon.”
“Okey.Saya datang.”

Watak dan Perwatakan

Watak Utama

Mellisa
1. Nama panggilannya ialah Mei.
2. Gadis berketurunan Cina dan nenek moyangnya berasal dari Guangdong.
3. Seorang yang lincah, suka bercakap dan bersifat terbuka.
4. Bersemangat patriotik
Mellisa seorang gadis yang sanggup meninggalkan keperluan diri semata-mata kecintaannya terhadap negara dengan menjadi tentera.
5. Mempunyai daya ingatan yang tinggi.
Ingatan Mellisa terhadap semua peristiwa yang pernah berlaku pada zaman kanak-kanaknya bersama Hisyam seolah-olah baru berlaku sedangkan pada masa itu dia baru berumur 5 tahun. Ingatannya ini juga yang menyebabkan dia nekad mencari jawapan punca rusuhan yang meragut nyawa „hero
‟nya berlaku.
6. Seorang yang terpelajar.
Mellisa merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sastera.

Watak Sampingan

Hisyam
1. Berketurunan Minang.
2. Seorang yang warak - rajin ke masjid terutama pada waktu maghrib.
3. Penyayang - amat menyayangi Mellisa.
4. Rajin – sering membantu ibunya menjual kuih koci dan nasi lemak setiap pagi.
5. Bercita-cita tinggi – dia ingin menjadi peguam atau tentera.

Syahid
1. Pengarah Syarikat surat khabar
2. Wajahnya persis Hisyam.
3. Berani – dia berani menghulurkan salam perkenalan kepada Mellisa.
4. Suka berterus terang – dia berterus terang tentang perasaannya terhadap Mellisa.

Latar

Latar Masa

1. Siang - Pertemuan antara Farid dan Mellisa dengan Syahid di syarikat surat khabar.
2. Senja atau waktu Maghrib - Hisyam ke masjid untuk sembahyang berjemaah.
3. 13 Mei – berlakunya rusuhan kaum yang telah mengorbankan Hisyam.

Latar Tempat

1. Pejabat Syahid - Mellisa dan Farid berjumpa atas urusan kerja
2. Rumah Mellisa, - Hisyam menumbuk anak orang putih yang memegang tangan Mellisa.
3. Kampung Baru- tempat responden Mellisa menghantar sahabat baiknya balik ke rumah pada 13 Mei 1969, yang akhirnya menyebabkan tunangnya meninggal dunia dan mukanya berparut semasa bergelut dengan perusuh.
4. Jalan Petaling, tempat berakhirnya riwayat Hisyam dan ibunya yang dibunuh perusuh.

Latar Masyarakat

1. Masyarakat muda yang amat cinta akan negara
Mellisa amat cinta akan negara lebih-lebih lagi setelah mengetahui peristiwa yang menyebabkan rusuhan kaum yang berlaku pada zaman kanak-kanaknya dahulu.

2. Masyarakat berbilang kaum yang hidup harmoni
Keluarga Mellisa yang berketurunan Cina duduk sekampung dengan keluarga Hisyam dengan aman dan damai sehinggalah peristiwa berdarah 13 Mei berlaku.

3. Masyarakat pelajar yang gigih.
Mellisa amat tekun menyiapkan tesisnya dengan membuat rujukan terperinci dengan menyemak pelbagai dokumen, buku, akhbar dan majalah.

4. Masyarakat miskin
Hisyam tinggal di rumah setinggan.

5. Masyarakat majmuk yang bersengketa
Akibat sentimen yang ditanam oleh penjajah kepada penduduk Tanah Melayu menyebabkan rusuhan kaum berlaku.

Gaya bahasa

1. Simile
Kumisnya yang kecil bak satu garis hitam

2. Peribahasa
Bertegang urat leher
Tidak lari gunung dikejar.

3. Pesonifikasi
Angin utara itu telah menyerbu masuk ke dalam biliknya.

4. Metafora
Bisul rusuhan

Nilai

1. Nilai kasih sayang
Mellisa amat menyayangi Hisyam iaitu hero zaman kanak-kanaknya dan tetap terkenang akannya walaupun peristiwa yang meragut nyawa Hisyam telah lama berlalu.

2. Nilai kegigihan.
Mellisa amat tekun dan gigih mencari maklumat tentang peristiwa yang mencetuskan peristiwa 13 Mei 1969, dengan mengumpul bukti bukan sahaja melalui pembacaan daripada pelbagai dokumen, tetapi melalui pertemuan bersama-sama responden yang terlibat secara terus dengan peristiwa berdarah itu.

3. Nilai keberanian.
Hisyam amat berani melindungi Mellisa. Hisyam telah menumbuk anak orang Inggeris yang memegang tangan Mellisa.

4. Cinta akan tanah air
Mellisa seorang gadis yang sanggup meninggalkan keperluan diri semata-mata kecintaannya terhadap negara dengan menjadi tentera

Pengajaran

1. Kita haruslah menyedari bahawa pertelingkahan antara kaum hanya akan menimbulkan masalah.
2. Kita haruslah bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu perkara agar pekerjaan yang kita lakukan akan membuahkan hasil yang memuaskan.
3. Kita janganlah mudah menyimpan dendam terhadap mereka yang melakukan kesalahan terhadap kita.
4. Kita mestilah mempunyai semangat cinta akan negara kerana dengan semangat inilah kita boleh hidup dengan aman dan sejahtera
 
Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum  (KPM)

Pelayaran Yang Penuh Peristiwa


Tema

Kelebihan dan kehebatan anak raja
Awang Sulung Merah Muda digambarkan memiliki kelebihan dan kehebatan seperti boleh menggerakkan geliung tanpa memegang kemudi, menenangkan air laut dengan mecmpakkan tulang pelanduk putih, menukarkan air laut yang masin menjadi manis, semasa ketibaan Awang Sulung ke Negeri Pati Talak Terengganu, alat-alat kebesaran dan seluruh isi alam berbunyi seolah-olah menyambutnya . Satu lagi kelebihannya, ketika ia menyeru ayamnya Kinantan Suci yang hampir tewas semasa menyabung sehingga akhirnya dapat mengalahkan lawannya, Si Jalak .

Persoalan

1. Persoalan cinta tidak mengenal rupa paras.
Tuan Puteri Dayang Seri Jawa jatuh hati kepada Awang Sulung kerana melihat kelebihan yang dimiliki oleh Awang Sulung walaupun ketika itu Awang Sulung comot dan hitam.

2. Persoalan perasaan dengki dan iri hati
Jurumudi sangat dengki kepada Awang Sulung yang mendapat layanan yang baik daripada Tuan Puteri Dayang Seri Jawa sehingga sanggup menyuruh Si Kembang Cina memberi sisa-sisa nasi di dalam tempurung berbulu kepada Awang Sulung.

3. Persoalan kewibawaan dan pengaruh yang kuat
Lanun-lanun tidak berani menyerang geliung yang dinaiki Tuan Puteri Dayang Seri Jawa apabila mendengar suara Awang Sulung Merah Muda.

4. Persoalan menipu untuk mencapai sesuatu tujuan
Jurumudi menipu Tuanku Nakhoda Tua dengan mengatakan dialah yang menyelamatkan geliung daripada serangan Tuan Puteri Dayang Nuramah dan daripada serangan lanun dengan menunjukkan keris yang berdarah ayam. Tujuannya supaya dia dapat berkahwin dengan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa.

5. Persoalan menghormati tetamu
Awang Sulung disambut oleh pembesar istana dan rakyat Negeri Pati Talak Terengganu semasa naik ke balairung seri.
 
Watak dan Perwatakan

Watak Utama

Awang Sulung Merah Muda
 -Berasal dari Negeri Bandar Mengkalih
 -Anak kepada Tuanku Si Helang Laut
 -Cucu kepada Tuanku Si Helang Mawai
 -Menyamar sebagai budak hitam yang comot dan hodoh di geliung Tuan Puteri Dayang Seri Jawa
 -Berwajah tampan – setelah mandi dengan menggunakan limau selimpat pagar dan sabun wangi terserlahlah ketampanannya .
 -Memiliki keris dan pedang sakti Memiliki gigi yang cantik bercahaya
 -Berhutang dengan Nakhoda Tua dan Datuk Batin Alam
 -Berkahwin dengan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa
 -Ditakuti lanun
-Memiliki pelbagai kesaktian – Dia dapat menenangkan air laut yang bergelora, menukarkan air masin menjadi manis dan tidak perlu memegang kemudi untuk menggerakkan geliung.
 -Patuh kepada peraturan - Dia meminta Bujang Selamat bertanyakan adat bergelanggang sebelum menyabung ayam.
-Merendah diri – apabila disuruh mengemudi geliung menggantikan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa dia mengatakan sekiranya berada di daratan bolehlah dia menjadi penghalau ayam, penunggu itik atau tukang sapu rumah .


Nilai

 Nilai merendah diri – contohnya Awang Sulung yang berketurunan raja sanggup menyamar sebagai budak hitam yang comot
 Nilai keyakinan – contoh Tuan Puteri Dayang Seri Jawa sanggup mengambil alih mengemudi kapal sewaktu jurumudi pengsan
 Nilai berani – contoh Awang Sulung berani menentang lanun yang cuba menyerang geliung kenaikan Tuan puteri Dayang Seri Jawa.
 Nilai kasih Sayang – contoh Awang Sulung dengan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa saling menyayangi selepas berkahwin.



Pengajaran

 Kita hendaklah sentiasa merendah diri di mana-mana sahaja kita berada supaya kita akan dihormati.
 Kita hendaklah berani menghadapi pelbagai rintangan demi mencapai matlamat.
 Kita hendaklah bijak agar dapat menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul.

Jumaat, 18 Februari 2011

Ulasan Sajak “Harga Remaja”

 
Harga Remaja 
Berapakah sebenarnya harga remaja
yang bersih
dari gelodak kecewa
bagai kehijauan daun
bagai kesegaran pohon
di pinggir perjalanan ini?

Dengan apakah akan kaupenuhi
piala remajamu
adakah cuka kesangsian
dari cinta murah
atau madu ajaran
dari ilmu susah?

Remaja amat mahal
sesungguhnya
tiada terbeli oleh perjanjian
harga remaja adalah
pendirian
keberanian dan ilmu.

Penuhilah remajamu
dengan ketentuan tuju.  
                                               .
Rahman Shaari
Langit di Tangan, 1995
Dewan Bahasa dan Pustaka                                               .
                                       
Maksud
Rangkap 1
Pertanyaan tentang harga remaja yang tidak mengalami kekecewaan.

Rangkap 2
Pertanyaan tentang kewajaran remaja menerima kesusahan, iaitu sama ada disebabkan perasaan cinta yang belum masanya atau ilmu yang ditimba selama ini.

Rangkap 3
Remaja amat berharga dan tidak dapat dibandingkan dengan perjanjian dalam percintaan yang belum masanya. Remaja yang baik ialah remaja yang berani dan memiliki ilmu.

Rangkap 4
Remaja hendaklah mengetahui arah tuju kehidupannya.

Tema
Ketinggian nilai remaja yang berilmu

Persoalan
(a) Kekecewaan golongan remaja.
(b) Percintaan remaja semasa usia muda
(c) Berani menempuh pelbagai cabaran dan mencuba sesuatu yang baru.
(d) Keyakinan diri dalam melakukan sesuatu tindakan dan teguh pendirian demi melangkah arah tuju yang diingini.
(e) Menimba ilmu tanpa had sebagai bekalan masa depan yang cemerlang.

Bentuk dan Ciri-Ciri Sajak
(a) Terdiri daripada empat rangkap
(b) Bilangan barisnya tidak sama; rangkap pertama (enam baris) , rangkap kedua (enam baris), rangkap ketiga (enam baris), rangkap keempat (dua baris).
(c) Rima akhirnya bebas/tidak sama; abacad,abcdce,aa


Gaya Bahasa
(a) Simile:
-Bagai kehijauan daun
-Bagai kesegaran pohon
(b) Metafora: cuka kesangsian, madu ajaran
(c) Asonansi: (pengulangan vocal e- Berapakah sebenarnya harga remaja)
(d) Aliterasi: (pengulangan konsonan t- dengan ketentuan tuju)

Nada
Sajak ini bernada didaktik

Nilai
(a) Rajin
(b) Berani
(c) Gigih berusaha
(d) Bijaksana
(e) Bercita-cita tinggi

Pengajaran
(a) Remaja hendaklah menjaga diri agar tidak mengalami kekecewaan.
(b) Elakkan bercinta sewaktu remaja kerana tidak membawa faedah.
(c) Remaja hendaklah menjadi golongan yang mencitai ilmu.
(d) Remaja perlu bersikap berani kerana benar.



UJI MINDA
Berdasarkan sajak "Harga Remaja", jawab soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


(i) Nyatakan harga remaja bagi penyajak yang tidak terbeli oleh perjanjian. [2 markah]


(ii) Penyajak mengharapkan remaja "Penuhi remajamu dengan ketentuan tuju". Pada pendapat anda, apakah hala tuju yang sesuai dicontohi oleh remaja? [3 markah]


(iii) Huraikan tiga nilai murni yang terdapat dalam sajak "Harga Remaja". [3 markah]



(i)                 

Ulasan Cerpen "Ibu dan Ceper"


SINOPSIS
Ceper ialah sebatang sungai yang menjadi sumber air bagi penduduk kampung dan pedalaman. Penulis (Shahnon Ahmad cuba membandingkan Sungai Ceper dengan ibu yang gigih bekerja di sawah, sementara suaminya (bapa penulis) asyik dengan burung ketitir.

 
Kesulitan hidup yang ditempuhi ibunya digambarkan  melalui liku-liku dan keadaan sungai yang semakin tercemar. Kian hari Sungai Ceper semakin lemah dan tohor akibat pelbagai sampah yang dibuang ke dalam sungai.
Pada suatu hari ibu telah terpijak tunggul lama menyebabkan dia tidak selincah seperti dulu. Ibu yang menjadi lumpuh, semakin uzur dan akhirnya meninggal dunia.
Penulis akhirnya membandingkan Sungai Ceper walaupun masih ada namun sudah tidak berfungsi seperti dulu,  iaitu sebagai sumber air kepada penduduk sedangkan ibu sudah meninggal lama sebelum bapa meninggal dunia.

TEMA
Kepentingan air dalam kehidupan.

PERSOALAN
  • Kesukaran hidup apabila sungai tercemar.
  • Setiap yang hidup akan mati.
  • Tanggungjawab anak terhadap kedua-dua orang tuanya.
  • Menghargai anugerah Allah.
WATAK & PERWATAKAN
a. Ibu
  • Seorang yang rajin.
  • Pandai membuat tikar.
  • Bergaul dengan masyarakat.
  • Mengamuk apabila Sungai Ceper tercemar dan berlaku banjir yang akhirnya merosakkan tanamannya.
b. Bapa
  • Suka mendenak burung ketitir.
  • Meninggal dunia kerana terjatuh.
c. Aku
  • Menggantikan ibu ke sawah setelah ibu lumpuh.
  • Bertanggungjawab menjaga ibu.